Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Su-35 Russia “Buli” Dron MQ-9 Reaper Milik Amerika Syarikat Di Syria

Komander Tentera Udara Amerika Syarikat Lt Jen Alex Grynkewich berkata insiden provokasi pesawat Su-35 Russia itu terhadap ketiga-tiga dron MQ-9 "Reaper" miliknya itu sedang melakukan tugas-tugas pemantauan terhadap kumpulan penganas, ISIS yang beroperasi di Syria itu.

0 5,779

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga buah pesawat pejuang Su-35 Russia telah bertindak dengan cara-cara “tidak selamat dan tidak profesional” dalam melakukan pemintasan terhadap tiga buah dron MQ-9 “Reaper” milik Amerika Syarikat di utara Syria pada 5 Julai.

Komander Tentera Udara Amerika Syarikat Lt Jen Alex Grynkewich berkata ketiga-tiga dron miliknya itu sedang melakukan tugas-tugas pemantauan terhadap kumpulan penganas, ISIS yang beroperasi di negara Timur Tengah itu.

US Central Command turut menyiarkan video insiden itu yang menunjukkan pesawat-pesawat Su-35 Russia itu telah melepaskan suar (flares) berhampir dron-dron itu, menyebabkan ia terpaksa mengambil tindakan untuk mengelaknya.

Su-35
Pesawat Su-35 Russia melepaskan suar (flares) di hadapan dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat di Syria.

 

Sebuah lagi pesawat Su-35 Russia itu juga dikesan berada di hadapan dron itu dan menghidupkan afterburner pesawat itu, menyebabkan operator dron itu berhadapan kesukaran untuk mengawalnya.

Amerika Syarikat menyifatkan tindakan oleh pesawat Su-35 Russia itu sebagai satu lagi tahap tindakan-tindakan keterlaluan dilakukan oleh tentera negara itu di Syria.

“Tindakan-tindakan ini merupakan contoh tindakan tidak profesional dan tidak selamat oleh Tentera Udara Russia yang beroperasi di Syria, yang mengancam keselamatan anggota tentera Russia dan Amerika Syarikat,” kata Grynkewich.

Beliau menyeru tentera Russia yang beroperasi di Syria supaya menghentikan tindakan semberono mereka dan mematuhi standard sebagaimana anggota tentera udara yang profesional bagi membolehkan kedua-dua negara kembali kepada fokus mereka untuk mengalahkan kumpulan pengganas ISIS.

Apa yang dilakukan oleh pesawat pejuang Russia terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat di Syria itu bukanlah perkara baru, malah ia adalah sambungan daripada tindakan-tindakan agresifnya terhadap tentera dan aset Amerika di negara Timur Tengah itu akhir-akhir ini. 

Su-35 Russia
Imej pesawat Su-35 Russia yang berjaya diambil oleh Targeting Pod salah sebuah pesawat pejuang Amerika Syarikat di Syria.

 

Pada April lalu, Pusat Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Timur Tengah (AFCENT) telah mengeluarkan dua video yang menunjukkan insiden pertembungan udara “berbahaya” di antara pesawat pejuang Su-35 lengkap bersenjata Russia dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya.

Insiden terbabit berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari” di dalam bulan Mac.

Dalam satu lagi kenyataan, tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa pada 27 November tahun lepas, unit pertahanan udara Russia yang beroperasi di Syria telah cuba menembak jatuh sebuah dron milik Amerika Syarikat “MQ-9 Reaper” menggunakan sistem pertahanan udara “Pantsir-S1”.

Bagaimanapun percubaan oleh tentera Russia untuk menembak jatuh dron Amerika itu gagal selepas tembakan peluru berpandu itu gagal mengenai sasarannya. — DSAapps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...