Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Sumbang Lebih Banyak Aset Ketenteraan Kepada Sekutu Rapatnya, Filipina

Terbaru,Amerika Syarikat bercadang memindahkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules kepada Filipina bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara Asia Tenggara itu.

0 2,125

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam usaha membantu meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara sekutu rapatnya, Filipina, terutama dalam menangani tindakan agresif tentera China di Laut China Selatan, Amerika Syarikat telah bertindak “menyumbang” lebih banyak aset-aset ketenteraan miliknya kepada Manila.

Terbaru,Amerika Syarikat bercadang memindahkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules kepada Filipina bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara Asia Tenggara itu.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, selepas memaklumkan Kongres negara itu Washington akan memindahkan dua buah kapal peronda kelas- Island dan dua buah kapal peronda kelas-Protector kepada Angkatan Tentera Filipina.

Hercules
Pesawat C-130H Tentera Filipina

 

Manila juga akan menerima tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules yang akan meningkatkan lagi kemampuan Angkatan Tentera Filipina dalam operasi pengangkutan dan usaha-usaha kemanusiaan ketika bencana alam.

Pengumuman oleh Rumah Putih tentang pemberian aset-aset tentera itu berlaku ketika Presiden Filipina Ferdinand “Bong Bong” Marcos berada di Washington dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Presiden Amerika Syarikat, Jo Biden.

“Sebarang peralatan/platform yang boleh membantu kemampuan pengangkutan Angkatan Tentera Filipina akan menyumbang dalam usaha mengangkut anggota tentera dan lojistik ketika operasi tentera,” menurut jurucakap Angkatan Tentera Filipina Kolonel Ma Consuelo Castillo kepada Agensi Berita Filipina.

Sumbangan terbaru aset ketenteraan milik Uncle Sam itu membabitkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules itu berlaku hanya sebulan selepas Amerika Syarikat menyumbang dua buah kapal peronda kelas-Cyclone miliknya kepada Filipina.

Kedua-dua bekas kapal peronda kelas-Cyclone milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang kini dimiliki oleh Tentera Laut Filipina adalah USS Monsoon (PC-4) dan USS Chinook (PC-9) dan dipindahkan kepada negara Asia Tenggara itu di bawah program Excess Defense Articles (EDA) kerajaan Amerika Syarikat.

Cyclone
Kapal peronda kelas-Cyclone Tentera Laut Amerika Syarikat yang kini menjadi milik Filipina.

 

Kedua-dua buah kapal peronda yang telah berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat selama hampir tiga dekad dan berpengkalan di Manama, Bahrain ketika di dilucut tauliah dalam satu upacara bulan lepas.

Tentera Laut Amerika Syarikat memiliki 14 buah kapal peronda kelas-Cyclone yang telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan di antara tahun 1994 hingga 1995.

Dengan panjang 53 meter, kapal-kapal peronda kelas-Cyclone itu mempunyai berat 331 ton dan mampu belayar selaju 35 knot sejauh 2,000 batu nautika.

Hubungan dan kerjasama ketenteraan di antara Filipina di bawah pemerintahan “Bong Bong” Marcos dan Jo Biden semakin erat, berbanding ketika negara Asia Tenggara itu berada di bawah pemerintahan Rodrigo Duterte.

Baru-baru ini, dalam usaha untuk mempercepatkan lagi perlaksanaan perjanjian kerjasama pertahanan antara Manila dan Washington, kerajaan Filipina telah bersetuju untuk memberikan tentera Amerika Syarikat akses kepada empat lagi pangkalan tenteranya.

F-22 Raptor
Dua buah pesawat F-22 Raptor Tentera Udara Amerika Syarikat dan dua buah pesawat pejuang ringan FA-50PH milik Tentera Udara Filipina dalam latihan bersama baru-baru ini.

 

Penambahan akses pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat  itu berlaku ketika  ketegangan di antara Washington dan Beijing berhubung isu-isu Laut China Selatan dan Taiwan semakin meningkat.

Seperti biasa, Beijing telah mengkritik tindakan yang diambil oleh kerajaan Filipina itu.

Keempat-empat lokasi baru yang diberikan akses kepada Amerika Syarikat adalah — Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan, Lapangan Terbang Lal-lo di Cagayan, Kem Melchor Dela Cruz di Gamu, Isabela dan  Balabac di Palawan.

Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan dan Lapangan Terbang Lal-Ilo juga di Cagayan hanya terletak kira-kira 500km daripada Kaoshiung, Taiwan manakala Balabac di Palawan untuk menangani pergerakan tentera China di Kepulauan Spratly.

Amerika Syarikat dan Filipina menyatakan bahawa mereka akan mempercepatkan lagi perlaksanaan perjanjian yang dikenali sebagai “Enhanced Defense Cooperation Agreement” (EDCA), dengan pembukaan empat lagi pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat.

Filipina
Tentera Amerika dan Filipina dalam satu latihan bersama.

 

Persetujuan terbaru itu menambah akses Amerika Syarikat kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina kepada sembilan buah keseluruhannya berbanding lima buah sebelum ini.

Lima buah pangkalan tentera Filipina di mana Washington telah diberikan akses  oleh Filipina sebelum ini adalah Pangkalan Udara Antonio Bautista di Palawan, Pangkalan Udara Basa di Pampanga, Fort Magsaysay di Nueva Ecija, Pangkalan Udara Lumbia di Cagayan de oro dan Pangkalan Udara Benito Ebuen di Cebu.

Sehingga kini, Amerika Syarikat telah melabur kira-kira US$82 juta (RM328 juta) untuk mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan di kelima-lima pangkalan tentera Filipina itu. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...