Jangan Lakukan Provokasi Di Rantau Ini, Gesa Malaysia Pada Anggota AUKUS Dan Bukan
“Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta kestabilan di rantau ini kekal, Malaysia menggesa semua pihak sama ada di dalam dan di luar pakatan AUKUS ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi, yang boleh menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini (Asia Tenggara)," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Negara-negara anggota pakatan ketenteraan AUKUS iaitu Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara di luar pakatan tentera itu digesa mengelak daripada melakukan sebarang tindakan berbentuk provokasi di rantau ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara-negara terbabit diseru tidak melakukan sebarang tindakan yang berpotensi menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini.
“Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta kestabilan di rantau ini kekal, Malaysia menggesa semua pihak sama ada di dalam dan di luar pakatan AUKUS ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi, yang boleh menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini.”

“Walaupun begitu, Malaysia mengakui hak semua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing mengikut kepentingan masing-masing,” kata beliau ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Malaysia sebagai negara anggota ASEAN, mahukan rantau Asia Tenggara kekal menjadi zon yang aman, bebas dan berkecuali.
“Ini termasuklah dalam isu proliferation (perluasan), pencegahan percambahan senjata nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman,” kata Menteri Pertahanan.
Sebelum pengumuman bahawa Australia bakal memperolehi lapan buah kapal selam berkuasa nuklear yang baru bermula tahun 2040, Mohamad berkata beliau telah diberikan penerangan mengenainya oleh Panglima Angkatan Tentera Australia yang merupakan utusan khas Perdana Menteri negara itu, Anthony Albanese.
Selain itu, beliau juga telah menerima kunjungan daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin dan Menteri Pertahanan United Kingdom Baroness Goldie.
Selain lapan buah kapal selam berkuasa nuklear baru dikenali sebagai SSN-AUKUS yang dibina oleh Britain menggunakan teknologi propulsion Amerika Syarikat bermula tahun 2040-an, Australia juga akan memperolehi lima buah kapal selam terpakai berkuasa nuklear kelas-Virginia buatan Amerika Syarikat bermula daripada tahun 2030-an.

Kesemua kapal-kapal selam yang bakal diperolehi oleh Australia itu berkuasa nuklear dan tidak membawa sebarang senjata nuklear.
Comments are closed.