Turki-UK Mungkin Meterai Pembelian Senjata Bernilai US$10 Bilion (RM40 Bilion)
Perbincangan Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar dan rakan sejawatannya daripada Britain, Ben Wallace meninjau kemungkinan Ankara memperolehi pesawat pejuang Eurofighter, pesawat pengangkut C-130J dan kapal friget Type 23 serta enjin baru untuk kereta kebal berusianya, M60.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turki telah mengadakan perbincangan dengan United Kingdom tentang kemungkinan kedua-dua negara memeterai pakej perjanjian pembelian senjata yang dianggarkan bernilai lebih US$10 bilion (RM40 bilion).
Pakej pembelian senjata di antara kedua-dua negara itu dijangka melibatkan pembelian pesawat pejuang, pesawat pengangkut, enjin kereta kebal dan kapal friget, menurut tiga sumber yang rapat dengan perbincangan mengenainya kepada Middle East Eye.
Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar berada di United Kingdom Ahad lepas untuk bertemu dengan rakan sejawatannya daripada Britain, Ben Wallace.
Menurut sumber-sumber terbabit, dalam perbincangan mereka Akar dan Wallace telah meninjau kemungkinan Turki memperolehi pesawat pejuang Eurofighter, pesawat pengangkut C-130J dan kapal friget Type 23 serta enjin baru untuk kereta kebal berusianya, M60.
“Kami sedang mengkaji opsyen kami berkenaan sistem-sistem persenjataan itu tetapi kami belum lagi berada di peringkat akhir perbincangan,” menurut salah seorang daripada sumber terbabit.
Mengulas tentang perbincangan dengan Ankara, jurucakap Kementerian Pertahanan United Kingdom berkata kepada Middle East Eye bahawa kedua-dua menteri pertahanan bertemu dalam usaha mereka untuk memperkukuhkan hubungan pertahanan di antara dua negara itu.
“Mereka turut membincangkan tentang isu perolehan (senjata),” kata jurucakap itu.
Perbincangan antara Turki dan United Kingdom itu berlaku ketika Ankara berhadapan kesukaran dan tentang daripada ahli politik Amerika Syarikat dalam usahanya membeli 40 buah pesawat pejuang F-16V dan 80 buah kit pemodenan untuk pesawat-pesawat F-16 milik Tentera Udara Turki.

Diantara yang paling kuat menentang penjualan pesawat pejuang F-16 kepada Turki adalah pengerusi Jawatankuasa Senat tentang Hubungan Luar Senator Bob Menendez yang telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau akan menhalang penjualan itu.
Alasan utama mereka yang menentang penjualan pesawat-pesawat F-16 dan kit pemodenan kepada Turki adalah kerana tindakan agresif Ankara terhadap negara jirannya, Greek.
Comments are closed.