Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia “Kehilangan” 25 Peratus Helikopter Penyerang KA-52 “Alligator” Miliknya Di Ukraine

Menurut Kementerian Pertahanan Britain yang memantau perkembangan konflik Russia-Ukraine, kemungkinan besar helikopter penyerang Russia itu menjadi mangsa kepada sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat amat dekat (Man-Portable Air Defence System - MANPADS) pihak Ukraine.

0 1,115

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Pihak tentera Russia didakwa kehilangan  23 buah helikopter penyerang KA-52 “Alligator” bersamaan dengan 25 peratus daripada keseluruhan jumlah helikopter penyerang itu yang dimilikinya sejak konflik bersenjata di Ukraine tercetus, menurut Kementerian Pertahanan United Kingdom.

Dalam satu perkembangan terkini menerusi akaun Twitter miliknya, Kementerian Pertahanan United Kingdom menyatakan bahawa Russia memiliki 90 buah helikopter penyerang itu di dalam angkatan tenteranya.

Menurutnya, kemungkinan besar helikopter penyerang Russia itu menjadi mangsa kepada sistem peluru berpandu pertahanan udara amat jarak dekat (Man-Portable Air Defence System – MANPADS) pihak Ukraine.

Ini ditambah pula helikopter-helikopter penyerang Russia itu beroperasi tanpa sebarang perlindungan daripada pesawat pejuang, yang tidak dipraktikkan di dalam doktrin ketenteraan negara itu.

“Russia masih gagal mengekalkan kekuasaan udara (air superiority) bagi membolehkan ia melaksanakan operasi bantuan udara tanpa risiko menggunakan helikopter di kawasan pertempuran,” kata Kementerian Pertahanan United Kingdom.

Ka-52
Salah sebuah helikopter Ka-52 yang ditembak jatuh oleh tentera Ukraine.

 

Ia juga berkata bahawa komander-komander tentera Russia terpaksa melaksanakan misi-misi serangan helikopter yang berisiko tinggi kerana mereka kekurangan opsyen tentang cara untuk memberi sokongan jarak dekat kepada anggota tentera mereka yang bertempur di medan.

Selain kehilangan helikopter penyerang Ka-52 di Ukraine, tentera Russia juga berhadapan dengan kehilangan satu pertiga helikopter pengangkutnya seperti Mi-8, Mi-24 dan helikopter penyerang lain termasuk Mi-35 Hind dan Mi-28 Havoc.

Sejak Februari, Russia telah kehilangan sebanyak 54 buah helikopter pelbagai jenis dengan 23 daripada adalah helikopter Ka-52.

Ka-52
Helikopter penyerang Ka-52 “Alligator”

 

Pada Oktober, pihak Tentera Ukraine mendakwa ia berjaya menembak jatuh dua buah helikopter penyerang Ka-52 milik Russia di wilayah Kherson.

Laporan tentang nasib malang helikopter Ka-52 itu sepatutnya membimbangkan China yang dilaporkan bercadang memperoleh sekurang-kurangnya 36 buah helikopter penyerang Ka-52K “Katran” daripada Russia untuk ditempatkan di kapal-kapal Landing Helicopter Dock (LHD) seperti Type 075D yang baru sahaja dilancarkannya untuk operasi di Laut China Selatan.

“Tentera China telah mengkaji untuk memperolehi helikopter Ka-52K agak lama kerana kapal LHD Type 075D itu memerlukan helikopter penyerang,” kata penganalisis pertahanan China, Zhou Chenming di Beijing.

Agensi berita Russia, Avia.Pro melaporkan bahawa China amat berminat dengan helikopter Ka-52K yang merupakan versi tentera laut bagi helikopter Ka-52 Alligator.

Helikopter penyerang Kamov Ka-52 merupakan helikopter penyerang dua tempat duduk duduk bersebelahan.

Ka-52

Ia adalah helikopter penyerang yang dinaiktaraf daripada helikopter Ka-50 yang digunakan secara ekstensif pada zaman Kesatuan Soviet.

Helikopter Ka-52 mula dibangunkan pada 1994, dengan penerbangan sulung dilakukan pada 1997 dan diperakui oleh pemerhati ketenteraan dunia sebagai diantara helikopter penyerang paling berbahaya di pasaran pada ketika ini.

Dilengkapi dengan enjin turboshaft Klimov VK-2500, helikopter Ka-52 boleh terbang selaju 300km sejam.

Mengenai sistem persenjataannya, helikopter Ka-52 dilengkapi dengan meriam 30mm serta pelbagai sistem lain termasuk roket dan peluru berpandu anti-kereta kebal. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE 

 

Comments
Loading...