Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] “If You’re Happy, Oklah, Tak Payahlah Buat Apa-Apa”

Apakah reaksi kita terhadap perubahan lanskap keselamatan di sekeliling kita ini? Adakah kita berdiam diri "berpeluk tubuh" sahaja, bersikap “business as usual” atau berbuat sesuatu untuk menanganinya?

0 5,094

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lanskap keselamatan di sekeliling kita sudah jauh berjauh berubah berbanding hanya beberapa tahun sebelum ini, sekaligus memaksa kita untuk turut berubah bagi menangani cabaran keselamatan masa kini yang semakin getir.

Hanya beberapa tahun sebelum ini, kita tidak pernah berhadapan dengan situasi di mana kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG) telah “sesuka-hati” belayar dan menceroboh masuk ke perairan kita sehingga berada hanya 80 batu nautika daripada kawasan pesisir pantai Sarawak.

Kita juga tidak pernah berhadapan dengan cabaran keselamatan di mana 16 buah pesawat tentera China melakukan penerbangan formasi di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM), dalam satu tindakan mencabar kedaulatan kita terhadap ruang udara di Laut China Selatan, sebagaimana yang berlaku pada Mei tahun lepas itu.

Admin pasti banyak lagi insiden-insiden keselamatan yang telah berlaku, tetapi ia tidak dilaporkan oleh media kerana pihak berkuasa bimbang ia akan menggusarkan orang ramai atau mahu menjaga hubungan dua hala antara negara.

Insiden-insiden keselamatan itu berlaku kerana lanskap keselamatan ini dinamik, tidak statik dan,sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan “pemain-pemainnya.”

Bagaimanapun apa reaksi kita terhadap perubahan lanskap keselamatan di sekeliling kita ini? Kita berdiam diri sahaja, bersikap “business as usual” atau berbuat sesuatu untuk menanganinya.

Itulah yang cuba disampaikan oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  Laksamana Mohd Reza Mohd Sany semasa forum“Landskap Keselamatan Negara: Mendepani Cabaran Semasa & Akan Datang” pada Persidangan Keselamatan Negara 2022 yang berlangsung baru-baru ini.

Sudah pasti ramai yang telah melihat video kenyataan Panglima Tentera Laut pada forum itu.

TLDM
(TLDM)

 

Cuba kita re-cap balik apa diperkatakan oleh beliau pada forum itu.

“Satu ketika dahulu, oklah Bajet (pertahanan) sebanyak itu, but now the lanskap (keselamatan) kita sudah berubah, itu yang saya cuba tekankan dalam forum ini bahawa ‘the (security) landscape has changed.’ 

“Bajet (pertahanan) kena ubah, kena review, saya tak cakaplah kena tambah seringgit,(tetapi) kita tengoklah, kita bincanglah  nanti,” menurut Panglima Tentera Laut pada forum berkenaan.

Beliau meneruskan lagi bahawa jika “pihak-pihak di negara ini ” gembira dengan kedudukan pada ketika ini, maka mereka boleh memilih untuk tidak berbuat apa-apa bagi menangani perubahan di dalam lanskap keselamatan di sekeliling Malaysia.

Kita boleh berpeluk-tubuh membiarkan pihak-pihak asing “mengikis” kedaulatan kita.

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM (credit to the owner of the pix)

 

“Unless you are happy with the (security) situation sekarang ini, (di mana) kapal CCG (China Coast Guard) dan sebagainya (berada) 80 Batu Nautika di Beting Patinggi Ali (terletak di perairan Sarawak dan kaya dengan sumber minyak dan gas),” katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa “Kapal kapal Singapura hari-hari dok challenge kita punya kapal di Batu Puteh.” (ia adalah sesuatu yang baru dan tidak diketahui oleh rakyat negara ini tentang sikap suka ‘mencabar’ kita oleh jiran selatan kita)
“If you are happy with that okaylah, tak payahlah buat apa apa.  Saya pun sudah hendak bersara, nak habis dah.  Saya cakap ini betul …frustlah.”

Ayat terakhir Panglima Tentera Laut itu berkenaan perasaan kecewa (frust) terhadap apa yang sedang berlaku pada ketika ini dengan kemungkinan sikap “ketidakpedulian” tentang keperluan-keperluan pihak Angkatan Tentera Malaysia dalam mendepani cabaran-cabaran hasil perubahan lanskap keselamatan serantau itu adalah amat merisaukan.   

Di akhir video yang pada ketika ini sudah menjadi viral adalah penjelasan oleh Panglima Tentera Laut tentang sebab yang mungkin menyebabkan “ketidakpedulian” pihak-pihak tertentu terhadap keperluan-keperluan ATM itu.

PT-91
Kereta kebal PT-91 Twardy atau “Pendekar” Tentera Darat Malaysia (BTDM)

 

 

“Lagi satu saya kata kenapa jadi begini,  mungkin kerana pembangunan ketenteraan will not buy them votes, saya rasalah.”

Betul tu Panglima, kesedaran pemimpin politik dan sebahagian besar rakyat kita terhadap isu-isu keselamatan memang rendah, menyukarkan mereka untuk memahami keperluan untuk negara berbelanja secukupnya untuk bidang pertahanan dan keselamatan.

Soal pertahanan tidak memberikan mereka (ahli politik) “undi” juga adalah benar, disebabkan kesedaran yang rendah dikalangan pengundi terhadap isu-isu pertahanan dan keselamatan.

Pada Belanjawan 2022 yang diumumkan oleh kerajaan pada akhir Oktober tahun lepas, Kementerian Pertahanan diberikan peruntukan sebanyak RM16.14 bilion.

Negara jiran terdekat kita, Singapura pula telah mengumumkan anggaran belanjawan pertahanan mereka untuk tahun 2022 berjumlah US$16.36 bilion (RM65.44 bilion) yang merupakan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding pada tahun lepas.

 Indonesia pula memperuntukkan sebanyak US$9.3 bilion atau RM37.2 bilion untuk bidang pertahanan negara itu pada 2023, berkemungkinan untuk membiayai beberapa perolehan seperti pesawat Rafale, F-15EX dan lain-lain lagi.

Hawk
Pesawat Hawk 108 milik TUDM.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Thailand pula telah pun mengumumkan peruntukan sebanyak US$6.5 bilion (RM26 bilion) pada tahun depan untuk ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.

Sementara itu bagi Vietnam pula, walaupun tiada angka yang tepat bagi belanjawan pertahanannya untuk tahun ini, tetapi ia dianggarkan adalah sebanyak US$5.6 bilion (RM22.4 bilion), manakala bagi Filipina pula, belanjawan pertahanan negara itu pada tahun ini adalah sebanyak US$4.39 bilion (RM17.56 bilion).

Tidak dapat dinafikan, belanjawan pertahanan kita sememangnya “agak sederhana” berbanding Singapura, Indonesia,Thailand, Vietnam malah Filipina yang semakin jauh meninggalkan kita dengan perolehan-perolehan sistem pertahanan yang terkini bagi berhadapan dengan perubahan lanskap keselamatan serantau. — DSA

Comments
Loading...