Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Akibat Rekabentuk Hampir Sama, KF-21 “Boramae” Diberi Jolokan “F-35 Asia”

Berikutan rekabentuknya yang hampir sama, pesawat KF-21 "Boramae" yang dibangunkan oleh gergasi aeroangkasa dan pertahanan negara Asia Timur itu iaitu Korea Aerospace Industries (KAI),  itu turut diberikan jolokan sebagai "F-35 Versi Asia." 

0 4,921

(DEFENCE SECURITY ASIA) Mengikut perancangan oleh syarikat pembuatnya, pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” (Hawk)  yang menjadi kebanggaan industri pertahanan Korea Selatan bakal melakukan penerbangan sulungnya pada akhir bulan ini, selepas melakukan di “rollout” pada April.

Dan pada tahun 2026 selepas berjaya melepasi segala ujian teknikal, pesawat pejuang “KF-21 Boramae” itu akan dibuat secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan daripada Tentera Udara Korea Selatan itu sendiri.

Berikutan rekabentuknya yang hampir sama, pesawat KF-21 “Boramae” yang dibangunkan oleh gergasi aeroangkasa dan pertahanan negara Asia Timur itu iaitu Korea Aerospace Industries (KAI),  itu turut diberikan jolokan sebagai “F-35 Versi Asia.” 

FA-50
Pesawat pejuang FA-50 yang turut dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries.

 

KAI merupakan syarikat yang sama menghasilkan pesawat FLIT/LCA FA-50 yang syarikat Korea Selatan itu sedang pasarkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris “Asia Defence Journal” keluaran Julai-Ogos tahun lepas, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada ketika itu (kini sudah bersara) turut ditanya sama ada TUDM berminat dengan pesawat KF-21 “Boramae” itu.

Perancang pelan pembangunan TUDM “CAP55” menurut beliau sentiasa memantau perkembangan terkini pasaran dan evolusi sistem.

Krueger
Bekas Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad a.k.a “Krueger”.

 

Bagaimanapun katanya, adalah terlalu awal untuk menentukan sama ada pesawat pejuang generasi 4.5 yang dibangunkan oleh Korea Selatan itu sesuai untuk TUDM dan negara.

Tumpuan TUDM pada ketika ini adalah untuk memastikan pesawat-pesawat pejuang sedia adanya iaitu Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet terus beroperasi sehingga tahun 2035 dan 2040 menerusi pelbagai usaha kejuruteraan yang juga akan memastikan ia kekal berbisa dan relevan.

KF-21

Dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi 4.5, pesawat pejuang KF-21 ini adalah setanding dengan pesawat-pesawat pejuang lain seperti Rafale yang dibangunkan oleh Dassault Aviation dan F/A-18 Super Hornet.

KF-21 Boramae ini adalah pesawat dua enjin yang boleh mencapai kelajuan maksimum 2,200km sejam dan jarak operasi sejauh 2,900km serta dilengkapi dengan radar AESA  (active electronically scanned array ).

 Dengan dua enjin,  pesawat pejuang ini mampu membawa pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu dan bom-bom seberat 7.7 tan, mencukupi untuk melaksanakan pelbagai misi daripada udara-ke-udara, udara-ke-darat atau maritime strike.

FA-50
Radar AESA untuk pesawat KF-21 “Boramae.”

 

Walaupun dibangunkan sebagai pesawat pejuang generasi 4.5, tetapi jurutera-jurutera di KAI merekabentuk pesawat itu supaya mudah untuk dinaiktaraf dengan pelbagai sistem terkini untuk membolehkan ia dinaiktaraf untuk menjadi sebuah pesawat pejuang generasi ke-5.

Bukan sahaja dinaiktaraf untuk menjadi pesawat pejuang generasi kelima, tetapi pengurusan KAI baru-baru ini juga mengumumkan bahawa pesawat pejuang KF-21 Boramae akan terus mengalami evolusi supaya terus dilengkapi dengan pelbagai sistem terkini untuk membolehkan ia dipertingkatkan sebagai sebuah pesawat yang memiliki ciri-ciri generasi ke-6.

KF-21

Sifat modulariti itu akan memastikan pesawat itu dinaiktaraf daripada pesawat generasi 4.5 kepada generasi ke-5 dan seterusnya generasi ke-6.  

Pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan Korea Selatan ini juga berkemampuan beroperasi dengan pesawat-pesawat tanpa pemandu dalam konsep “man-machine partnership”.

Korea Selatan membelanjakan sejumlah US$6.8 bilion (RM27 bilion) untuk membangunkan program pesawat KF-21 Boramae, dengan 20 peratus atau kira-kira US$1.33 bilion (RM5.7 bilion) daripada peruntukan pembangunan program ini disumbang oleh Indonesia sebagai rakan kerjasama kepada program pembangunan pesawat ini.

 Baru-baru ini, dikatakan terdapat masalah di antara Jakarta dengan Korea Selatan mengenai “sumbangan” Indonesia terhadap program pembangunan KF-21 Boramae tetapi berjaya diselesaikan dan pembabitan negara Asia Tenggara itu dalam program terbabit disambung semula.

KF-21

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Korea Selatan hanya mengumumkan mengenai projek pembangunan pesawat KF-21 “Boramae” pada tahun 2015 dan enam tahun selepas itu, pesawat pertama itu telah berjaya di-rollout dan pesawat pertama akan melakukan penerbangan sulungnya pada tahun depan.

Pembangunan yang begitu cepat pesawat KF-21 ini bukan hanya disebabkan oleh usaha Korea Selatan semata-mata, tetapi negara Asia Timur tu telah dibantu oleh gergasi-gergasi pertahanan Amerika Syarikat seperti Lockheed Martin dan General Electric.

Sama seperti pesawat KF-21, KAI juga bekerjasama rapat dengan kedua-dua gergasi pertahanan Amerika Syarikat itu dalam membangunkan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) FA-50 yang kini amat laris di pasaran. — DSA

 

Comments
Loading...