Huawei Jadi Punca Amerika Enggan Jual Pesawat F-35 Kepada UAE
Washington dikatakan telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh UAE sebelum negara itu dibenarkan membeli pesawat pejuang tercanggihnya itu dan satu daripada syarat itu adalah UAE mesti menamatkan hubungannya dengan Huawei.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keengganan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menamatkan hubungannya dengan syarikat telekomunikasi terkenal China, Huawei dalam teknologi 5G dikatakan adalah antara punca utama mengapa Amerika Syarikat membatalkan penjualan pesawat F-35 kepada negara Teluk itu.
Washington dikatakan telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh UAE sebelum negara itu dibenarkan membeli pesawat pejuang tercanggihnya itu dan satu daripada syarat itu adalah UAE mesti menamatkan hubungannya dengan Huawei.
Disebabkan kedegilan UAE tidak mahu mematuhi syarat-syarat itu maka keputusan Amerika untuk menjual sehingga 50 buah pesawat F-35 yang diambil ketika pemerintahan Donald Trump itu dibatalkan oleh pentadbiran Presiden Jo Biden pada Disember tahun lepas.
Sebenarnya apa yang dihadapi oleh UAE turut dialami oleh banyak negara – di mana ia terpaksa memilih di antara dua kuasa ekonomi dunia yang masing-masing sedang memperluaskan pengaruh geopolitik mereka.
Walaupun pesawat pejuang tercanggih Amerika Syarikat yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu tidak menggunakan teknologi 5G, tetapi UAE akan menggunakan 5G di stesen-stesen komunikasinya di bumi, menara telekomunikasi di pangkalan-pangkalan udara dan pelbagai kemudahan dan inilah yang dibimbangi oleh Washington.
“Mereka (Amerika Syarikat) bimbang bahawa China akan berpeluang menggunakan kemudahan itu semua untuk memperolehi seberapa banyak maklumat perisikan tentang kemampuan dan bagaimana pesawat F-35 itu beroperasi,” menurut seorang penganalisis Barat.
Setiausaha Pertahanan Pentagon John Kirby mengakui bahawa antara risiko paling utama mengapa Amerika membantah kerjasama UAE-Huawei adalah berkenaan kebimbangan ia akan memberikan China peluang untuk “mengintai” kemampuan dan cara pesawat F-35 itu beroperasi.

Katanya lagi kehendak Amerika Syarikat dalam melindungi keselamatan serta kerahsiaan peralatan dan sistem pertahanannya adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi oleh negara kuasa besar itu.
Bagaimanapun katanya, syarat penting itu tidak hanya dikenakan kepada UAE tetapi kepada semua negara yang memperolehi peralatan pertahanan daripada Amerika Syarikat.
Sebenarnya hubungan di antara UAE dengan Huawei sudah terjalin sejak beberapa tahun dahulu,lama sebelum negara Teluk itu bercadang untuk memiliki pesawat F-35 itu untuk kegunaan tentera udaranya.
Comments are closed.