Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan SAR Temui Dua Penyelam Warga Asing Yang Hilang Di Mersing

Penyelam warga asing yang ditemui itu adalah warga Britain Adrian Peter Chesters dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina.

0 1,215

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Operasi mencari dan menyelamat penyelam warga asing yang hilang di perairan Mersing berjaya menemui dua daripada tiga penyelam yang hilang itu di selatan Pengerang, dekat Kota Tinggi awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata penyelam warga asing yang ditemui itu adalah warga Britain Adrian Peter Chesters dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina.

Kedua-dua mereka dijumpai oleh nelayan tempatan kira-kira pukul 1 pagi, yang kemudian memaklumkannya kepada pihak berkuasa yang bertindak membawa mereka ke hospital swasta di Pasir Gudang.

Penyelam
Keempat-empat penyelam warga asing yang hilang. (BERNAMA)

 

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke darat, kini berada di hospital untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya sebagaimana dipetik oleh BERNAMA di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.

Mangsa yang masih hilang ialah anak kepada Adrian Peter, Nathen Renze Chesters, 14, seorang warga Belanda.

“Seorang lagi mangsa belum ditemukan dan pihak kami semakin giat dengan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Penyelam
Warga Perancis Alexia Alexandra Molina ketika dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. (BERNAMA)

 

Cyril bagaimanapun berkata pihaknya sehingga kini tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kedudukan sebenar dua penyelam itu sebelum mereka dijumpai serta keadaan Nathan Renze.

Dalam kejadian tengah hari Rabu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini. 

Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi, Khamis lepas.

Penyelam
Jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat pada Khamis. (BERNAMA)

 

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata tumpuan operasi pencarian hari ini adalah untuk mencari dan menyelamat remaja itu.

Fokus kawasan pencarian diubah ke arah selatan hingga perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan kerana kita masih tidak dapat kepastian bagaimana keadaan mangsa sekarang.

Penyelam
(BERNAMA)

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Aset di laut dan udara masih sama (digerakkan), pada awalnya hari ini sektor pencarian kita dari timur Desaru hingga Tenggara, jadi kita (ubah) hingga selatan membawa ke Tanjung Pengelih,” katanya.

Pada masa sama berkata pihaknya juga giat membuat hebahan mengenai pencarian seorang lagi penyelam itu kepada kapal-kapal dagang dan bot sekitar.– DSA

 

Comments
Loading...