Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembinaan Tiga Buah Kapal Baru APMM Pula Alami Kelewatan

Daripada enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM yang “mengalami kelewatan selama bertahun-tahun” kepada tiga buah kapal baru APMM, “insiden-insiden malang” yang menimpa agensi keselamatan dan pertahanan negara berulang-ulang ibarat “roda yang kejam” tanpa ada pengakhirannya.

0 12,270

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya “penyakit” kelewatan menyiapkan pembinaan kapal-kapal untuk agensi keselamatan dan pertahanan negara bukan sahaja melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sahaja, tetapi ia telah “menjangkiti” Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ia telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengatakan bahawa pembinaan tiga buah kapal baru APMM tidak dapat disiapkan mengikut jadual dan kini mengalami kelewatan.

Dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama, beliau berkata, kontrak telah diberikan kepada sebuah syarikat tempatan, yang sepatutnya menyerahkan kapal tersebut dua tahun lepas tetapi mengalami kelewatan kerana ketidakupayaan syarikat itu.

Skrip yang sama sahaja berkenaan “ketidakupayaan” syarikat tempatan dalam menyiapkan pembinaan kapal-kapal untuk agensi keselamatan dan pertahanan negara.

Daripada enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM yang “mengalami kelewatan selama bertahun-tahun” kepada tiga buah kapal baru APMM, “insiden-insiden malang” yang menimpa agensi keselamatan dan pertahanan negara berulang-ulang ibarat “roda yang kejam” tanpa ada pengakhirannya.

Kapal APMM

“Kalau tidak, kita telah ada tiga buah kapal baharu tapi oleh kerana kelewatan mereka ia tergendala, bagaimanapun kita tekan mereka untuk menentukan kapal-kapal ini siap dalam tempoh terdekat,” kata Hamzah sebagaimana dipetik berkata oleh Bernama.

Menteri Dalam Negeri itu berkata pada sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-17 APPM di sini semalam.

Susulan itu, Hamzah berkata kapal yang pertama baharu dijangka akan diterima oleh APMM pada tahun ini, manakala sebuah kapal lagi akan diterima tahun hadapan, dan sebuah lagi pada 2024.

Sebagaimana dilaporkan media sebelum ini, APMM sedang membina tiga buah kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil. 

Kontrak pembinaan tiga buah kapal itu telah ditandatangani dengan sebuah syarikat tempatan pada 2017.

LCS
Kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM yang mengalami kelewatan dalam pembinaannya.

 

Kapal OPV yang direkabentuk mengikut rekaan Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Menurut Hamzah lagi,  APMM juga merancang untuk menambah tiga lagi helikopter untuk menampung operasinya pada ketika ini.

“Helikopter yang ada sekarang hanya boleh beroperasi selama empat jam, dan itu tidak mencukupi sebab itu kita rasakan perlu dapat beberapa lagi buah helikopter,” katanya.

Aset-aset APMM katanya, melibatkan kapal dan helikopter akan ditambah, bagi membantu operasi penguatkuasaan dan menyelamat agensi itu di perairan negara.

APMM

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Perkara itu dilakukan bagi memperkasakan lagi aset yang dimiliki agensi itu, memandangkan terdapat beberapa aset laut APMM yang telah berusia lebih 30 tahun.

Antara kapal yang telah berusia lebih 30 tahun termasuk KM Amanah (40 tahun), KM Langkawi (30 tahun) dan KM Siangin (lebih 30 tahun), yang kini ditempatkan di perairan sekitar semenanjung Malaysia.

“Kapal-kapal APMM yang ada telah berusia terlalu lama, jadi rancangan Kementerian Dalam Negeri adalah untuk memastikan segala aset yang diperlukan, dapat diperoleh secepat mungkin bagi membantu negara dari pencerobohan oleh mereka yang melakukan jenayah terancang (di perairan negara),” katanya sebagaimana dipetik oleh Bernama.– DSA

Comments
Loading...