Kapal TLDM, Friget Tentera Laut Jerman “FGS Bayern” Adakan PASSEX Di Selat Melaka
Pada 15 Disember tahun lepas, kapal friget kelas-Brandenburg Tentera Laut Jerman, FGS Bayern muncul sebagai kapal perang Jerman yang pertama dalam tempoh 20 tahun untuk belayar di Laut China Selatan, perairan yang sebahagian besarnya dituntut China sebagai hak miliknya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengadakan Passage Exercise (PASSEX) dengan kapal friget kelas-Brandenburg milik Tentera Laut Jerman, FGS Bayern dan helikopter Super Lynx miliknya di sekitar perairan Selat Melaka semalam.
Objektif utama PASSEX dengan kapal perang Tentera Laut Jerman itu adalah untuk memperkasakan kebolehoperasian melalui kaedah perkongsian idea serta kepakaran di lapangan.
Sebanyak tujuh aset TLDM terlibat dalam latihan di Selat Melaka itu iaitu KD SRI INDERASAKTI, KD JEBAT, KD LEKIR, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD GEMPITA, KD SUNDANG serta helikopter Super Lynx serta Fast Combat Boat TLDM.
“Objektif latihan diterjemahkan melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan sail past,
“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut,” menurut TLDM dalam kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kapal perang Tentera Laut Jerman itu sedang melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Kehadiran kapal perang milik Tentera Laut Jerman itu menunjukkan kenyataan tegas kerajaan Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap kebebasan dan keselamatan pelayaran di perairan di Indo-Pasifik yang dikini diancam oleh sikap agresif tentera China.
Pada 15 Disember tahun lepas, kapal friget FGS Bayern menjadi kapal perang Jerman yang pertama dalam tempoh 20 tahun untuk belayar di Laut China Selatan, kawasan perairan yang sebahagian besarnya dituntut China sebagai hak miliknya.
40 peratus daripada keseluruhan perdagangan Eropah melalui perairan di Laut China Selatan.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Comments are closed.