Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Thailand Mahu Antara 8 Hingga 12 Buah F-35

Pesawat F-35 itu menjadi pilihan kepada Tentera Udara Thailand pada ketika ini kerana kos pemilikannya yang telah menurun kepada US$82 juta sebuah berbanding US$142 juta sebuah apabila ia mula-mula muncul di pasaran.

0 7,976

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Langkah Singapura memperolehi pesawat generasi ke-lima F-35 Joint Strike Fighter kini berkemungkinan diikuti oleh Thailand yang menyuarakan keinginannya untuk memiliki antara lapan hingga 12  buah pesawat keluaran syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin itu.

Keinginan Thailand untuk memiliki lapan hingga 12 buah pesawat itu telah disuarakan oleh panglima tentera udaranya Napadej Dhupatemiya yang dipetik oleh akhbar negara jiran itu, Bangkok Post.

Menurut beliau, Tentera Udara Thailand memerlukan pesawat-pesawat baru untuk menggantikan pesawat-pesawat F-16 dan F-5E yang telah berusia dan telah berkhidmat dengan negara itu selama lebih tiga dekad.

Katanya, apabila usia pesawat semakin meningkat kos penyelenggarannya semakin meningkat, selain risiko terhadap juruterbang.

Beliau juga berkata, pesawat F-35 itu menjadi pilihan kepada Tentera Udara Thailand pada ketika ini kerana kos pemilikannya yang telah menurun kepada US$82 juta sebuah berbanding US$142 juta sebuah apabila ia mula-mula muncul di pasaran.

Pesawat F-35B
Pesawat F-35B “Lightning” di atas kapal HMS Queen Elizabeth.

 

Kos pemilikan sebuah pesawat Gripen yang dibangunkan oleh firma Sweden, Saab Group juga adalah pada US$85 juta, tidak banyak berbeza dengan F-35.

“Dengan rundingan antara kedua-dua pihak (Thailand dengan Lockheed Martin) harga per-unit pesawat F-35 boleh diturunkan lagi kepada lebih US$70juta sebuah,” kata Panglima Tentera Udara Thailand itu.

Beliau berkata, sebuah panel akan ditubuhkan untuk mengkaji program perolehan pesawat itu bagi menjustifikasikan permohonan peruntukan oleh Tentera Udara Thailand.

F-35

Pesawat pejuang F-35 itu adalah adalah pilihan yang tepat kepada Tentera Udara Thailand kerana teknologinya, bersesuaian dengan usaha negara itu yang mahu meningkatkan lagi kuasa udaranya, katanya.

Beliau berkata, Tentera Udara Thailand tidak perlu membeli pesawat F-35 itu didalam bilangan yang banyak, cukup di antara lapan hingga 12 buah pesawat kerana pesawat itu akan digandingkan dengan pesawat tanpa pemandu (UAV).

F-35
Pesawat-pesawat F-35B beroperasi daripada atas kapal HMS Queen Elizabeth.

 

Tentera Udara Thailand mahu menggandingkan pesawat F-35 yang mahu dimilikinya dengan pesawat tanpa pemandu seperti Boeing Loyal Wingman yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu bersama-sama Tentera Udara Australia pada ketika ini

Cadangan perolehan pesawat F-35 itu katanya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha untuk pertimbangan sebelum sama ada perolehan itu diteruskan.

Pesawat-pesawat pejuang F-35 itu akan beroperasi daripada pangkalan tentera udara Thailand di Nakhon Ratchasima yang terletak di tengah-tengah Thailand.

Pada 2019-2020 Singapura juga memperolehi 12 buah pesawat F-35B (short take-off vertical landing – STOVL), dengan pesawat pertama dijangka diperolehi oleh tentera udara republik itu pada tahun 2026.

Pesawat-pesawat F-35B Singapura itu dijangka berpengkalan di Amerika Syarikat bagi tujuan latihan sebelum dibawa pulang.

F-35

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...