Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

RM18 Bilion Sebuah Tapi Kapal Kelas-Zumwalt Tetap Dianggap Gagal

Rancangan Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menggantikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dengan kapal destroyer kelas-Zumwalt gagal direalisasikan selepas kapal perang halimunan dengan rekabentuk futuristik itu berhadapan dengan deretan masalah yang gagal diselesaikan sehingga kini.

0 2,657

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bernilai US$4.5 bilion sebuah (RM18 bilion), kapal destroyer kelas-Zumwalt Tentera Laut Amerika Syarikat telah dicanang-canang sebagai kapal perang masa depan bagi menggantikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke yang telah sekian lama berkhidmat untuk tentera laut negara itu.

Dengan rekabentuk yang futuristik dengan Radar Cross Section (RCS) yang amat kecil menyerupai sebuah bot nelayan pada paparan radar walaupun saiz sebenarnya adalah 40 peratus lebih besar dari kapal pemusnah kelas- Arleigh Burke membuatkan Amerika Syarikat pada mulanya bercadang untuk memperolehi sejumlah 32 buah kapal destroyer kelas-Zumwalt itu.

Kapal destroyer kelas-Zumwalt akan menjadi kapal perang flagship Tentera Laut Amerika Syarikat yang baru, peranan yang selama ini dimainkan oleh kapal destroyer kelas-Arleigh Burke yang sentiasa dikerah oleh Washington ke seluruh pelusuk lautan dunia untuk menguatkuasakan dasar negara itu terhadap negara lain.

Zumwalt

Bagaimanapun impian Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menggantikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dengan kapal destroyer kelas-Zumwalt gagal direalisasikan selepas kapal perang halimunan dengan rekabentuk futuristik itu berhadapan dengan deretan masalah yang gagal diselesaikan sehingga kini.

Walaupun dibina dengan kos US$4.5 billion (RM18 bilion), sebuah, tetapi Tentera Laut Amerika Syarikat mendakwa kapal destroyer-kelas Zumwalt itu tidak mencapai keupayaan sebagaimana yang diinginkan oleh mereka.

Disebabkan deretan masalah yang tidak kesudahan dan kos yang melambung tinggi,  pembuat dasar Tentera Laut Amerika Syarikat telah memutuskan untuk mengurangkan pembelian kapal destroyer kelas-Zumwalt itu daripada 32 buah kepada hanya tiga buah sahaja.

Dalam masa yang sama, Tentera Laut Amerika Syarikat juga memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal destroyer kelas- Arleigh Burke memandangkan percubaannya dengan kapal kelas-Zumwalt itu berhadapan dengan kegagalan.

Zumwalt

Kapal destroyer kelas-Zumwalt yang pertama, USS Zumwalt telah pun ditauliahkan pada 2016 manakala kapal perang kelas itu yang kedua, USS Michael Monsoor pula ditauliah ke dalam Tentera Laut Amerika Syarikat pada 2019.

Walaupun sudah bertahun kedua-dua kapal destroyer kelas- Zumwalt itu telah ditauliahkan, tetapi USS Zumwalt dan USS Michael Monsoor masih menjalani pelbagai ujian dan belum pernah dikerah ke mana-mana pentas tugasan aktif.

Malah kedua-dua kapal destroyer kelas-Zumwalt itu masih diselubungi dengan pelbagai masalah yang menghalang Tentera Laut Amerika Syarikat daripada mengerahkannya untuk tugasan sebenar di lautan.

Kapal destroyer kelas-Zumwalt yang ketiga dan terakhir, USS Lyndon B. Johnson pula masih menjalani ujian di laut (sea trials).

Zumwalt
Advanced Gun System (AGS) yang gagal dilaksanakan.

 

Apakah di antara masalah yang dihadapi oleh kapal-kapal destroyer kelas-Zumwalt itu?

Sebenarnya kapal destroyer kelas-Zumwalt itu direka untuk melaksanakan tugas memberikan “Naval Surface Fire Support” dan oleh kerana itulah ia akan dilengkapi dengan pelbagai sistem dan persenjataan yang moden dan belum teruji lagi.

Antara sistem utamanya adalah Advanced Gun System (AGS) yang dibangunkan oleh syarikat BAE System manakala peluru untuk AGS dipanggil “ Long Range Land Attack Projectile (LRLAP)” pula dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Sistem AGS menggunakan peluru LRLAP yang merupakan projektil-rocket assisted boleh menembak sasaran sejauh 95km.

Zumwalt

Bagaimanapun sistem AGS itu tidak memberikan masalah kepada kapal destroyer kelas-Zumwalt itu, namun yang mendatangkan masalah adalah kos peluru LRLAP yang mengalami peningkatan mendadak apabila Tentera Laut Amerika Syarikat memutuskan untuk membeli hanya tiga buah Zumwalt berbanding pelan asal sebanyak 32 buah kapal.

Sebutir peluru LRLAP kini dianggarkan bernilai di antara US$800,000 hingga US$1 juta (RM3.2 juta hingga RM4 juta) yang dianggarkan sama harganya dengan sebutir peluru berpandu kruis Tomahawk.

Mengikut pelan asal, pihak Tentera Laut Amerika Syarikat bercadang memperolehi kira-kira 2,000 peluru LRLAP bernilai US$2 bilion (RM8 bilion).

Disebabkan kos peluru LRLAP yang terlalu tinggi, maka Tentera Laut Amerika Syarikat memutuskan untuk tidak memasang sistem AGS itu tiga buah kapal Zumwalt dan menggantikannya dengan peluru berpandu Hypersonic dipanggil “Conventional Prompt Strike” (CPS).

Zumwalt

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Masalahnya adalah, CPS masih lagi diperingkat ujian dan ia akan mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum peluru berpandu Hypersonic itu boleh dikerah untuk tugasan aktif.

Terdapat juga perancangan untuk melengkapkan kapal destroyer kelas-Zumwalt dengan Electro Magnetic Rail Gun, tetapi itu pun tidak menjadi kenyataan.

Apa yang terjadi pada ketika ini adalah kapal destroyer kelas-Zumwalt Tentera Laut Amerika Syarikat yang bernilai US$4.5 bilion setiap sebuah itu tidak mempunyai sebarang senjata utama untuk berhadapan dengan musuh-musuhnya. — DSA

Comments
Loading...