Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Kapal Halimunan USS Zumwalt Lancar Peluru Berpandu

0 891

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal guided missile destroyer halimunan pertama Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Zumwalt (DDG-1000) yang dianggarkan bernilai US$3.8 billion (RM15.7 bilion sebuah) telah berjaya melancarkan peluru berpandu buat pertama kalinya.

Kapal ultra-moden dengan rekabentuk amat futuristik seberat 16,000 tan itu telah melancarkan peluru berpandu Standard Missile-2 (SM-2) menggunakan pelancar MK57 Vertical Launching System (VLS).

Ujian peluru berpandu pertahanan udara pada 13 Oktober itu dilakukan di Lapang Sasar Point Mugu, di luar pantai California.

Rakaman pelancaran peluru berpandu SM-2 oleh USS Zumwalt. (sumber Tentera Laut Amerika Syarikat)

Menurut kenyataan oleh ketua program DDG-1000 Matt Schroeder, pelancaran peluru berpandu itu adalah langkah ke hadapan untuk lebih banyak ujian-ujian lebih canggih dan operasi bagi kapal perang yang paling innovatif.

Walaupun telah siap pada 2016 selepas mula dibina secara rasmi pada 2009, tetapi USS Zumwalt tidak dilengkapi dengan sebarang sistem yang canggih sehingga sekarang.

USS Zumwalt yang mengambil nama sempena bekas Komander Operasi Tentera Laut Amerika Syarikat Laksamana Elmo Zumwalt, dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

USS Zumwalt bakal mempunyai dua “adiknya” yang lain daripada sama kelas iaitu USS Michael Monsoor (DDG-1001) dan USS Lyndon Johnson (DDG-1002).

Zumwalt
Selain rekabentuk yang unik, USS Zumwalt seberat 16,000 tan dilengkapi dengan pelbagai penderia dan senjata yang canggih. (sumber Twitter)

Kedua-dua kapal itu dijangka memasuki perkhidmatan pada akhir tahun ini dan tahun depan.

Mengikut perancangan awal, Tentera Laut Amerika Syarikat bercadang memiliki 32 buah kapal DDG-1000 seperti Zumwalt tetapi mengurangkannya kepada hanya tujuh sebelum tiga pada akhirnya.

Menurut maklumat, setiap kapal kelas guided missile destroyer “Zumwalt” ini bakal dilengkapi dengan 80 sel-sel Advanced Peripheral Vertical Launch System (VLC) yang boleh mengandungi peluru-peluru berpandu Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM), Standard Missile dan Vertical Launch Anti Submarine Rocket.

Terdapat juga rancangan untuk melengkapkan kapal pemusnah yang canggih itu dengan peluru berpandu Tomahawk Maritim dan Long-Range Anti Ship Missile (LRASM).

Zumwalt
Pada pandangan radar musuh, USS Zumwalt hanya kelihatan seperti sebuah bot nelayan kecil. (sumber Twitter)

Cakap-cakap juga mengatakan USS Zumwalt dan “adik-adiknya” dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic.

Ketiga-tiga kapal DDG-1000 ini berpengkalan di San Diego tetapi bakal dikerahkan untuk berkhidmat di Armada Pasifik apabila ia sudah siap untuk belayar, kemungkinan pada tahun hadapan.

Ketika di Pasifik, sudah semestinya ia akan diperhatikan dengan penuh minat oleh kapal-kapal perang China.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...