Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Syarikat Kerah Dua Buah Kapal Perang “Arleigh Burke” Ke Laut Hitam

Kedua-dua kapal perang Amerika Syarikat terbabit dipercayai jenis destroyer daripada kelas Arleigh Burke “USS Donald Cook” dan “USS Roosevelt”.  

0 1,833

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turki mengesahkan bahawa Amerika Syarikat akan mengerah dua buah kapal perangnya ke Laut Hitam (Black Sea), suatu tindakan yang bakal menghangatkan lagi keadaan di timur Ukraine di mana Russia sejak beberapa minggu lepas telah menghimpunkan ribuan anggota tenteranya.

Kedua-dua kapal perang Amerika Syarikat terbabit dipercayai jenis destroyer daripada kelas Arleigh Burke “USS Donald Cook” dan “USS Roosevelt”.  

USS Roosevelt
Kapal perang destroyer Arleigh Burke “USS Roosevelt”

 

Kapal pengangkut pesawat USS Dwight D.Eisenhower kini berada di Laut Mediterranean bersama-sama kapal-kapal pengiringnya.

Sejak beberapa minggu lepas, Moscow telah menghantar ribuan anggota tentera bersama-sama kelengkapan mereka ke timur Ukraine/Crimea, sekaligus menimbulkan spekulasi negara itu sedang bersiap-sedia untuk menceroboh Ukraine sebagaimana dilakukannya pada 2014.

Walaupun Ukraine bukan negara anggota NATO, tetapi bekas negara anggota Warsaw Pact ketika era Perang Dingin itu telah pun menyatakan hasratnya untuk menyertai NATO, tindakan yang amat tidak disenangi oleh Moscow dan Vladimir Putin.

Sehingga kini Ukraine adalah pro kepada blok Barat dan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Moscow.

Kemungkinan Amerika Syarikat akan menghantar kapal-kapal perangnya ke Laut Hitam terdedah apabila Kementerian Luar Turki memberitahu media bahawa ia telah menerima notis rasmi tentang hasrat dua buah kapal perang asing daripada Laut Mediterranean untuk memasuki Laut Hitam menerusi Selat Bosphorus dan Selat Dardanelles milik Turki.

Bosphorus

Dibawah Konvensyen Montreux 1936, negara-negara bukan pesisir Laut Hitam perlu memaklumkan terlebih dahulu jika mereka mahu memasuki Laut Hitam.

“Satu notis telah dihantar kepada kami kira-kira 15 hari yang lalu menerusi saluran diplomatik bahawa dua buah kapal perang Amerika Syarikat akan ke Laut Hitam selaras dengan Konvensyen Montreux. Kapal-kapal itu akan berada di Laut Hitam sehingga 4 Mei,” kata Kementerian Luar Turki itu.

Pihak tentera Amerika Syarikat enggan mengesahkan bahawa ia sedang di dalam proses untuk mengerah kapal-kapal perangnya ke Laut Hitam, ketika suasana di timur Ukraine semakin buruk dengan kehadiran ribuan anggota tentera Russia.

Kedua-dua kapal perang itu, USS Donald Cook dan USS Roosevelt beroperasi di Eropah daripada pangkalannya di Rota, Sepanyol.

Kedua-dua kapal perang itu pernah beroperasi di Laut Hitam sebelum ini, dengan USS Donald Cook baru sahaja menamatkan misi di perairan terbabit pada Februari lepas.

Russia
Tentera Russia di timur Ukraine.

 

Ketika USS Donald Cook dan sebuah lagi kapal perang destroyer, USS Porter berada di Laut Hitam pada Februari lepas, ia menerima pelbagai “gangguan” dan “provokasi” daripada pesawat-pesawat pejuang Russia.

Defence Security Asia turut melaporkan kejadian “provokasi” pesawat Russia itu yang melakukan simulasi serangan terhadap kapal-kapal perang Amerika Syarikat itu termasuk terbang rendah berhampiran USS Donald Cook dan USS Porter.

Kehadiran kedua-dua kapal destroyer “Arleigh Burke” di Laut Hitam berhampiran dengan Ukraine sememangnya merupakan suatu signal kepada Russia supaya tidak mengulangi tindakan agresifnya, sebagaimana yang dilakukannya pada 2014.

Pada 2014, ribuan anggota tentera Russia menceroboh Ukraine dan menakluk Semenanjung Crimea yang menempatkan armada Laut Hitamnya sehingga kini.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...