Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Yavuz” Komited Pada Pasaran Malaysia. Perolehan SPH Dilakukan Secara G-to-G?

Terdapat perkembangan terbaru mengenai perolehan meriam SPH untuk tentera darat ini dimana Defence Security Asia dimaklumkan terdapatnya maklumat mengatakan bahawa perolehan sistem SPH itu berkemungkinan dilakukan secara urusan di antara kerajaan dengan kerajaan (G-to-G).

0 3,345

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun perolehan secara rundingan terus sistem meriam bergerak (self propelled howitzer –SPH) “Yavuz” 155mm 52 cal telah dibatalkan oleh Kementerian Pertahanan awal tahun ini, tetapi ia tidak “melemahkan semangat” syarikat pembuatnya daripada Turkiye untuk terus berusaha memikat hati kerajaan Malaysia.

Defence Security Asia diberitahu bahawa syarikat Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) akan menyertai tender terbuka antarabangsa bagi perolehan sistem itu sekiranya ia dibuka oleh Kementerian Pertahanaan dalam masa terdekat ini.

“Sudah tentu kami akan menyertai persaingan di Malaysia,” kata sumber terbabit mengenai sistem meriam itu yang mula diperkenalkan pada 2017 dan berkemampuan membedil sasaran pada jarak maksimum 40km. 

Yavuz
Sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh gergasi industri pertahanan Turki,MKE.

 

Sistem meriam SPH “Yavuz” menggunakan semi-automatic loading system dengan 18 butir peluru disimpan pada kenderaan pembawanya yang berkemampuan melindungi lima orang krewnya daripada tembakan senjata ringan dan serpihan letupan.

Sistem ‘Yavuz” juga berkemampuan melakukan penembakan Multiple Round Simulataneous Impact (MRSI).

Bagaimanapun, terdapat juga perkembangan terbaru mengenai perolehan meriam SPH untuk tentera darat ini dimana Defence Security Asia dimaklumkan terdapatnya maklumat mengatakan bahawa perolehan sistem SPH itu berkemungkinan dilakukan secara urusan di antara kerajaan dengan kerajaan (G-to-G).

Beberapa rakan admin di dalam industri pertahanan negara menyatakan perolehan SPH itu akan dilakukan secara rundingan terus di antara kerajaan dengan kerajaan, sebagaimana yang diumumkan sebelum ini berkenaan perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.

Bagaimanapun, rundingan terus kerajaan dengan kerajaan berkenaan perolehan LMS Batch 2 juga “masih senyap”, dengan tiada pengumuman sperti dijangkakan pada LIMA ’23, menimbulkan persoalan sama ada jalan G-to-G untuk perolehan LMS Batch 2 itu masih berjalan.

 

MKE
Sistem ‘Yavuz” pada pameran LIMA ’23 baru-baru ini.

 

Ini ditambah pula, satu persatu syarikat pembuat kapal antarabangsa pada LIMA ’23 tampil melakukan mengumumkan bahawa mereka berminat untuk membekalkan Malaysia dengan kapal LMS rekaan mereka.

Nampak gaya, perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 juga bakal ditentukan secara tender terbuka antarabangsa.

Bagaimanapun, semuanya bergantung dengan Kementerian Kewangan sama ada mahu melaksanakan perolehan SPH atau LMS Batch 2 itu secara rundingan G-to-G atau tender terbuka antarabangsa.

MKE turut sama menyertai LIMA ’23 dengan mempamerkan pelbagai sistem yang dihasilkan syarikat itu, termasuklah sistem SPH “Yavuz” 155mm 52cal dan juga sistem meriam 105mm “Boran.”

MKE merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turkiye dimana 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan Turki manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan Turki.

Boran
Meriam 105mm “Boran” keluaran syarikat MKE daripada Turkiye.

 

MKE turut memegang 50 peratus saham di dalam Roketsan dan adalah antara pemain utama industri pertahanan negara Turki.

Ditubuhkan pada tahun 1453 Masihi, MKE telah diamanahkan untuk membekalkan senjata, peluru dan meriam kepada kerajaan Turki Uthmaniyah dan fungsi itu terus kekal sehingga ke hari ini dimana MKE masih kekal sebagai pembekal utama kepada Angkatan Tentera Turki.

Pada masa ini,MKE mempunyai 11 kilang senjata berat yang menghasilkan lebih 400 produk seperti senjata ringan dan berat, peluru, roket, bahan letupan dan lain-lain yang turut dieksport ke lebih 50 negara.

MKE
Antara produk keluaran MKE yang dipamerkan pada LIMA ’23 baru-baru ini.

 

Bagi kategori senjata berat, MKE menghasilkan pelbagai senjata berat termasuk meriam 120mm bagi kereta kebal Altay, meriam Boran 105mm, meriam 155mm Panter, Firtina 155mm track Self Propelled Howitzer (Firtina SPH) dan Yavuz SPH 155mm.

Pada tahun 1994, MKE telah melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama dengan syarikat Singapura,  ST Kinetics dimana mereka telah menghasilkan sistem meriam 155mm Panter untuk Turkiye.

Manakala hasil kerjasama itu,  Singapura telah menghasilkan meriam versinya tersendiri iaitu FH-2000 155mm 52 calibre towed howitzer.– DSA

Comments
Loading...