Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Boleh Kembali “Besarkan” Pulaunya, Indonesia Tarik Larangan Jual Pasir Laut

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, Singapura sudah menambah kawasan tanahnya sebanyak satu per-empat, kebanyakannya menggunakan pasir laut untuk menambak kawasan pantai.

0 9,532

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Singapura kini boleh mempergiatkan usaha “membesarkan” lagi pulau itu, selepas Indonesia menarik balik larangan eksport pasir laut ke republik itu yang dikuatkuasakan pada 2003.

Sebelum larangan eksport pasir laut ke Singapura pada 2003, Indonesia merupakan pembekal terbesar pasir laut ke republik itu iaitu pada kadar 53 juta tan setahun di antara tahun 1997 hingga 2003 apabila larangan itu dikuatkuasakan.

Singapura menggunakan pasir laut yang diimportnya daripada Indonesia untuk membesarkan lagi keluasan republik itu.

Pasir
Keadaan Singapura pada 2017 dan 2030 selepas aktiviti penambakan laut.

 

Malaysia mengharamkan eksport pasir laut kepada Singapura pada 2019 pada ketika ia merupakan pengeksport terbesar bahan itu kepada republik berkenaan. Larangan eksport pasir laut ke Singapura masih kekal sehingga kini.

Menurut data daripada United National Comtrade berdasarkan kepada maklumat yang disediakan oleh pejabat kastam masing-masing, Singapura mengimport 59 juta tan pasir dari Malaysia pada 2018, bernilai AS$347 juta (RM1.4 bilion).

Ia mewakili 97 peratus daripada jumlah import pasir Singapura pada tahun itu, dan mewakili 95 peratus penjualan pasir global Malaysia.

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, Singapura sudah menambah kawasan tanahnya sebanyak satu per-empat, kebanyakannya menggunakan pasir laut untuk menambak kawasan pantai.

Mengikut laporan oleh agensi berita antarabangsa, Reuters, Presiden Joko Widodo menarik balik larangan eksport bahan itu dalam satu pernyataan tentang peraturan pengurusan sedimen marin yang dikeluarkan awal bulan itu.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia Wahyu Muryadi sebagaimana dipetik oleh agensi berita itu berkata, peraturan tentang pengurusan sedimen marin bertujuan memastikan aktiviti perlombongan pasir mematuhi standard alam sekitar.

Pasir

Menurut satu laporan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2019, Singapura merupakan negara pengimport pasir laut terbesar di dunia, dengan republik itu mengimport kira-kira 517 juta tan pasir laut daripada negara-negara jiran sejak dua dekad lepas.

Disebabkan keluasan tanahnya yang terhad, kerajaan Singapura terpaksa melakukan kerja-kerja penambakan kawasan lautnya bagi memastikan ia memiliki tanah yang mencukupi untuk aktiviti ekonomi dan pembangunan.

Larangan ekport pasir laut oleh Indonesia kepada Singapura merupakan satu isu yang hangat diperdebatkan antara kedua-dua kerajaan.

Republik itu menuduh Jakarta menggunakan larangan eksport pasir laut sebagai usaha untuk menekan republik itu dalam rundingan berkenaan isu ekstradisi dan sempadan kedua-dua negara.

Singapura dan Jakarta menandatangani perjanjian mengenai ekstradisi pada tahun lepas,

Pada ketika ini, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura sedang dalam peringkat merancang dan merekabentuk fasa ketiga projek mega Pelabuhan Tuas, dengan kerja-kerja penambakan laut dijangka selesai pada pertengahan tahun 2030-an.  

Pasir
Fasa Pertama Pelabuhan Tuas selepas penambakan laut.

 

Apabila siap kelak, Pelabuhan Tuas bakal menjadi terminal kontena terbesar di dunia.

Sementara itu, pegawai kempen Indonesian Forum for the Environment, Parid Ridwanuddin berkata penarikan balik larangan eksport yang terkandung dalam pernyataan peraturan itu bertemtangan dengan komitment Jakarta untuk memastikan ekosistem lautan yang lebih baik.

Pengkaji di Greenpeace Indonesia Afdillah Chudiel pula berkata perlombongan pasir laut akan mempercepatkan lagi krisis perubahan iklim.

“Ia (perlombongan pasir laut) akan mempercepatkan lagi ‘penenggelaman’ pulau-pulau kecil dan hakisan kawasan pesisir pantai.

Pasir laut kebanyakannya digunakan untuk penambakan laut, manakala pasir sungai adalah komponen utama dalam bahan pembinaan seperti simen. — DSA

 

Comments
Loading...