Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Tentera Uzbek Tembak Jatuh Pesawat Afghanistan

Menurut Kementerian Pertahanan Uzbekistan yang mengesahkan tentang insiden itu berkata, kejadian berlaku di wilayah Surxondaryo yang terletak di selatan negara itu dan berjiran dengan Afghanistan.

1,806

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Unit pertahanan udara tentera Uzbekistan telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang milik tentera udara Afghanistan selepas ia menceroboh ruang udara negara Asia Tengah itu.

Menurut Kementerian Pertahanan Uzbekistan yang mengesahkan tentang insiden itu berkata, kejadian berlaku di wilayah Surxondaryo yang terletak di selatan negara itu dan berjiran dengan Afghanistan.

“Sistem pertahanan udara Uzbekistan berjaya mengekang cubaan sebuah pesawat tentera Afghanistan untuk memasuki negara itu secara haram,” menurut jurucakap kementerian pertahanan Uzbekistan Bahrom Zulfikorov sebagaimana dipetik oleh Al-Jazeera.

Beliau tidak mendedahkan berapa ramai yang berada di dalam pesawat itu atau sama ada mereka terselamat dalam kejadian itu.

Terdapat laporan mengatakan pesawat itu merupakan A-29 Super Tucano dan juruterbangnya mahu mendapatkan suaka politik di Uzbekistan.

Insiden penembakan jatuh pesawat tentera Afghanistan itu berlaku ketika militan Taliban mara di segenap pelusuk Afghanistan dan menawan Kabul semalam.

Sementara itu pihak berkuasa kesihatan di wilayah Surxodaryo berkata kepada agensi berita AFP bahawa mereka telah menerima dua orang pesakit yang memakai pakaian seragam juruterbang tentera Afghanistan.

Menurut mereka salah seorang itu datang ke pusat kesihatan bersama-sama payung terjun dan mengalami kecederaan.

Agensi berita RIA Russia pula berkata, juruterbang pesawat Afghanistan itu terselamat.

Kementerian Pertahanan Uzbekistan pada Ahad juga memaklumkan bahawa ia telah menahan 84 anggota tentera Afghanistan selepas mereka menyeberang masuk sempadan untuk melarikan diri daripada militant Taliban.

Tucano

Disebuah lagi negara jiran, Tajikistan melaporkan bahawa beberapa pesawat tentera Afghanistan membawa 100 anggota tentera negara itu telah memasuki negara itu dan mendarat di selatan negara itu di bandar, Bokhtar.

Pihak berkuasa Tajikistan membenarkan pesawat itu memasuki ruang udaranya kerana ia berhadapan dengan masalah.

Tiga negara bekas Soviet iaitu, Tajikistan, Uzbekistan dan Turkmenistan berjiran dengan Afghanistan.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.