Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Mayat Rakyat Afghanistan Tersangkut Pada Peralatan Perdaratan Pesawat C-17 Amerika

Akibatnya pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di sebuah negara ketiga yang tidak didedahkan bagi membolehkan krew mengetahui lebih jelas punca kepada “masalah teknikal” itu.

0 3,128

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Krew pesawat pengangkut C-17 Globemaster Tentera Amerika Syarikat yang berlepas daripada Kabul bersama-sama ratusan penumpang berdepan dengan detik cemas apabila peralatan pendaratannya (landing gear) tidak dapat berfungsi.

Akibatnya pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di sebuah negara ketiga yang tidak didedahkan bagi membolehkan krew mengetahui lebih jelas punca kepada “masalah teknikal” itu.

Sebaik sahaja pesawat pengangkut itu mendarat di negara ketiga itu, krew-krew pesawat terperanjat (dan didakwa ada yang mengalami trauma) kerana punca utama mengapa tayar (landing gear) pesawat tidak berfungsi adalah kerana ada mayat rakyat Afghanistan yang tersangkut pada peralatan pendaratan itu.

Malah ada video yang kini tersebar mengenai insiden itu.

Kejadian itu amat tragik kerana ia menggambarkan betapa terdesaknya rakyat Afghanistan hendak keluar daripada negara itu yang kini diperintah oleh Taliban, sehingga mereka sanggup menggadai nyawa sedemikian rupa.

Kita dapat lihat bagaimana ribuan rakyat Afghanistan, wanita dan kanak-kanak menyerbu lapangan terbang itu, dengan harapan mereka dapat menaiki salah sebuah pesawat dan meninggalkan negara yang sedang bergolak itu.

Mereka mahu meninggalkan negara yang kini diperintah oleh Taliban.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat masih belum mengeluarkan kenyataan tentang insiden itu tetapi akhbar terkenal negara itu, Washington Post merupakan agensi media yang pertama melaporkan tentang penemuan itu.

Semalam, banyak visual dan gambar daripada media-media sosial yang menunjukkan warga Afghanistan duduk di bahagian tayar pesawat C-17 itu ketika pesawat itu sedang bergerak di landasan Lapangan Terbang Kabul.

Tidak lama selepas pesawat pengangkut itu berlepas,  satu demi satu daripada mereka jatuh daripada ketinggian ratusan meter.

Laporan media tempatan mengatakan pada Isnin sahaja, penduduk tempatan menemui tujuh mayat penduduk negara itu yang terjatuh daripada pesawat-pesawat tentera sebaik sahaja mereka berlepas daripada lapangan terbang ibu negara Afghanistan itu.

Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya melakukan operasi pemindahan rakyat mereka secara besar-besaran, dengan mengerahkan pesawat-pesawat pengangkut C-17 Globemaster untuk memindahkan kira-kira 1,400 kakitangan kedutaanya di Kabul serta warga Afghanistan yang pernah membantunya.

Operasi kecemasan itu dilakukan dengan pantas, sehingga terdapat sebuah pesawat C-17 itu membawa sehingga 800 penumpang.

Kabul

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...