Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Saksikan Pesawat Su-34 Russia Gugur Bom FAB-3000 Seberat Tiga Tan

(VIDEO) Dilengkapi dengan kit panduan UMPK (Unified Module of Planning and Correction), bom FAB-3000 telah ditransformasi untuk menjadi sistem persenjataan yang bukan sahaja amat tepat tetapi juga amat berbahaya untuk tentera Ukraine kerana kuasa letupannya yang dahsyat.

8,790

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Russia telah mengeluarkan video menunjukkan pesawat pejuang Su-34 tentera udara negara ini telah mula mengoperasikan bom-bom FAB-3000 seberat tiga tan untuk membedil kedudukan tentera Ukraine.

Dilengkapi dengan kit panduan UMPK (Unified Module of Planning and Correction), bom FAB-3000 telah ditransformasi untuk menjadi sistem persenjataan yang bukan sahaja amat tepat tetapi juga amat berbahaya untuk tentera Ukraine kerana kuasa letupannya yang dahsyat.

Video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Russia itu menunjukkan bom FAB-3000 yang digugurkan oleh pesawat Su-34 ke atas bangunan dihuni oleh tentera Ukraine  itu telah dilengkapi dengan kit UMPK.

Kit UMPK membolehkan bom seberat tiga tan itu mempunyai “sayap” dan meluncur di ruang udara sebelum menghentam sasaranya daripada jarak kira-kira 80km.

Penganalisis tentera Barat juga menggelar bom-bom ini sebagai “winged bomb” (bom bersayap) atau “glide bom”.

Kit UMPK yang sama seperti kit panduan JDAM dibangunkan oleh Amerika Syarikat telah menukar bom-bom “bodoh” tanpa sistem panduan milik mereka  kepada bom “pintar” yang berkemampuan membedil sasaran dengan tepat.

Kit UMPK yang dibangunkan oleh Russia, sebagaimana JDAM ciptaan Amerika Syarikat membolehkan bom-bom tidak berpanduan itu membedil sasaran mereka dengan tepat dan pada jarak yang jauh.

Untuk membolehkan bom-bom dilengkapi dengan kit UMPK itu membedil sasarannya dengan tepat, sistem panduannya adalah berdasarkan kepada kombinasi inertial navigation (yang boleh berfungsi dalam semua keadaan) dan satellite navigation.

Bom seberat 3 tan dipanggil FAB-3000 itu dilengkapi dengan bahan peledak  Trinitrotoluene (TNT) seberat 1.4 tan.

Russia atau Kesatuan Soviet mula menggunakan bom-bom FAB-3000 itu pada Perang Dunia Kedua.

Radius letupan daripada bom FAB-3000 adalah kira-kira 900 meter yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besar terhadap sasarannya, sama ada bangunan atau pangkalan-pangkalan tentera.

Bom-bom dilengkapi dengan dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK disifatkan sebagai kalis sistem pertahanan udara kerana ia tidak menghasilkan sebarang signal elektromagnetik radio atau radar atau haba daripada enjin yang boleh dikesan oleh pengesan Infra Red (IR) sistem pertahanan udara itu.

Russia menggunakan bom-bom dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK untuk membedil kubu-kubu pertahanan Ukraine yang diperkukuhkan dan terletak di luar daripada kawasan perlindungan sistem pertahanan udara miliknya.

FAB-3000

Sebelum ini, tentera Russia telah banyak menggunakan bom-bom FAB-500 seberat 500kg dan juga FAB-1500 seberat 1.5 tan untuk membedil kedudukan tentera Ukraine dan hasilnya sebagaimana didakwa oleh Moscow adalah amat berkesan.

Mengakui bahawa bom-bom FAB selepas ia dilengkapi dengan kit UMPC/UMPK adalah amat berkesan di medan peperangan di Ukraine, maka pihak tentera Russia kini meningkatkan keberkesanan keluarga bom FAB itu dengan memperkenalkan FAB-3000 seberat 3 tan pula.

Bagaimanapun mimpi ngeri Ukraine dengan pembuatan besar-besaran bom FAB-3000 itu berkemungkinan tidak berakhir setakat itu sahaja kerana terdapat dua lagi ahli keluarganya iaitu bom FAB-5000 seberat 5 tan dan juga FAB-9000 seberat 9 tan.

Setakat ini, pihak Russia tidak lagi memberikan keputusan sama ada ia akan memulakan semula pembuatan bom-bom FAB-5000 dan FAB-9000, tetapi ia berkemungkinan juga bergantung kepada keadaan di medan peperangan di Ukraine. — DSA

 

Comments are closed.