Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pesawat pejuang Shenyang J-15 Milik Tentera Laut China Terhempas Ketika Latihan

(VIDEO) Pesawat pejuang Shenyang J-15 atau dikenali sebagai "Flying Shark", adalah pesawat pejuang yang beroperasi daripada kapal pengangkut (carrier-based fighter jet) yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation untuk Tentera Laut China.

0 949
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang J-15 daripada Tentera Laut China atau dikenali sebagai People’s Liberation Army Navy (PLAN) terhempas ketika terlibat dalam penerbangan latihan di bandar Jialai, Jingao County di Wilayah Hainan kira-kira 1.30 petang (waktu tempatan).
Menurut kenyataan daripada Southern Theatre Navy Command, juruterbang pesawat pejuang tersebut selepas berjaya menggunakan kerusi injal pesawat itu beberapa ketika sebelum pesawat pejuang J-15 diterbangkannya terhempas.
Pesawat pejuang itu terhempas di kawasan terbuka tanpa menyebabkan kerosakabn kepada bangunan di bawah.
“Pihak juruterbang berjaya melenting keluar dan tiada kerosakan dilaporkan di darat,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa siasatan bagi mengenal pasti punca nahas telah dimulakan.
Southern Theatre Navy Command merupakan pusat pemerintah tentera laut China yang bertanggungjawab terhadap beberapa kawasan paling sensitif di negara ini, termasuk Laut China Selatan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Laut China Selatan telah menyaksikan beberapa insiden pertembungan di antara kapal-kapal pengawal pantai China dan Filipina terutamanya di sekitar terumbu dan pulau yang menjadi pertikaian.
Pesawat pejuang Shenyang J-15 atau dikenali sebagai “Flying Shark”, adalah pesawat pejuang yang beroperasi daripada kapal pengangkut (carrier-based fighter jet) yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation untuk Tentera Laut China.

Pesawat pejuang ini direka khusus untuk beroperasi di atas kapal pengangkut pesawat Liaoning dan Shandong, menjadikannya aset utama dalam keupayaan tentera laut China untuk pertempuran udara jarak jauh, operasi pencegatan, dan serangan laut.
J-15 merupakan pesawat pejuang pelancar kapal pengangkut yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation dan digunakan secara eksklusif oleh Tentera Laut China (PLAN).
Pesawat ini dilengkapi dengan dua enjin WS-10H, versi terbaru enjin buatan China, atau Saturn AL-31F, enjin asal buatan Rusia yang digunakan pada model awalnya.
Pesawat pejuang J-15 mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 2,400 km/j (Mach 2.4) dan mempunyai jarak operasi sejauh 3,500 km tanpa pengisian bahan api, menjadikannya pesawat tempur jarak jauh yang sesuai untuk operasi dari kapal pengangkut pesawat.
Dari segi persenjataan, pesawat pejuang J-15 ini dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara seperti PL-12, PL-8, dan PL-10, selain peluru berpandu anti-kapal YJ-83K yang mampu menyerang sasaran maritim.
Ia juga boleh membawa bom berpanduan dan roket, membolehkannya melaksanakan pelbagai misi serangan ke darat dan pertempuran udara.
Liaoning
Pesawat pejuang Shenyang J-15 China
J-15 dianggap sebagai varian China kepada pesawat pejuang Su-33 milik Russia, yang merupakan versi carrier-based kepada Su-27.
China dipercayai mendapat reka bentuk Su-33 melalui prototaip Ukraine (T-10K-3) sekitar tahun 2001, dan kemudian mengembangkannya dengan teknologi tempatan termasuk avionik moden dan enjin buatan China.
Walaupun pesawat pejuang J-15 mirip Su-33 dari segi rupa dan saiz, ia mempunyai sistem avionik, radar, dan persenjataan yang lebih moden, memberikan kelebihan dalam pertempuran udara.
Pesawat pejuang J-15 itu berkemampuan melakukan pertempuran udara, serangan darat, dan serangan ke atas kapal.
Malah ia dilengkapi dengan sistem avionik moden termasuk radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dan sistem peperangan elektronik terkini, selain menggunakan enjin WS-10H buatan China, menjadikannya tidak lagi bergantung pada enjin Russia seperti sebelum ini.
J-15
Juruterbang J-15 yang terselamat.

 

China kini sedang membangunkan varian J-15 yang lebih moden, termasuk varian yang serasi dengan sistem catapult untuk kapal pengangkut Fujian (Type-003) yang dijangka menggunakan sistem EMALS (Electromagnetic Aircraft Launch System) seperti kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat.
 Selain itu, China juga sedang membangunkan pesawat pejuang stealth carrier-based J-35, yang mungkin akan menggantikan J-15 dalam dekad akan datang.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 
Leave A Reply

Your email address will not be published.