Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Kapal Korvet Kelas-ADA Turkiye, TCG Kinaliada Belayar Ke Malaysia

(VIDEO) Kapal korvet kelas-ADA Tentera Laut Turkiye “TCG Kinaliada” (F-514) kini berlabuh Terminal Cruise, Pelabuhan Klang di Malaysia sebagai sebahagian daripada sambutan 100 tahun hubungan diplomatik di antara Turkiye dan Jepun serta untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Kuala Lumpur dan Ankara.

0 2,760

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal korvet kelas-ADA Tentera Laut Turkiye “TCG Kinaliada” (F-514) kini berlabuh Terminal Cruise, Pelabuhan Klang di Malaysia sebagai sebahagian daripada sambutan 100 tahun hubungan diplomatik di antara Turkiye dan Jepun.

Kehadiran kapal Tentera Laut Turkiye itu juga adalah sebahagian daripada sambutan 134 tahun pelayaran kapal friget Ertugrul ke Jepun.

Malaysia menjadi destinasi keenam persinggahan kapal perang TCG Kinaliada, juga sebagai meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dua hala antara negara itu.

Duta Turki ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata, Malaysia menerima lawatan kapal perang milik Turkiye itu selepas sembilan tahun.

“Persinggahan kapal tentera laut ini sempena meraikan hubungan diplomatik Turkiye-Malaysia ke-60.

“Lawatan ini menunjukkan hubungan Turkiye-Malaysia adalah sangat rapat, kita cuba sentiasa bersama Malaysia dalam setiap keadaan,” katanya kepada media yang melawat kapal perang canggih itu.

Turut hadir Komander Serkan Dogan.

Sebelum tiba di Malaysia, kapal korvet kelas-ADA itu telah singgah Jeddah, Djibouti, Mogadishu,Male dan Chittagong.

Selepas Malaysia, kapal perang Turkiye itu akan meneruskan pelayarannya ke Jakarta, Bangkok, Hong Kong, Busan,Kushimoto, Tokyo, Hiroshima, Manila, Singapore, Colombo, Mumbai, Muscat, Doha, Abu Dhabi, Karachi dan Aqaba.

Keseluruhannya, kapal perang TCG Kinaliada akan singgah di 20 buah negara dan 24 buah pelabuhan.

Turkiye

Selain itu, kata duta Turkiye ke Malaysia itu lagi, persinggahan TCH Kinaliada ini sebagai bukti kesediaan Turkiye dan Malaysia dalam mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan.

“Kunjungan ini bukti kesediaan dua negara dalam mengangkat kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan, teknologi, sains, pertahanan dan banyak lagi ke tahap yang lebih baik dan lancar.

“Kunjungan ini merupakan usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP),” katanya.

Kapal perang TCG Kinaliada adalah kapal korvet ke-empat dan terakhir kelas-ADA yang dibina oleh Istanbul Naval Shipyard selari dengan program korvet kebangsaan MILGEM.

TCG Kinaliada dinamakan sebegitu bersempena dengan Pulau Kinaliada yang merupakan sebahagian daripada Pulau Prince dan paling dekat dengan Istanbul.

Turkiye

Turkiye

Pembinaan kapal TCG Kinaliada itu bermula pada 8 Oktober 2015 dan dilancarkan pada 3 Julai 2017 serta memulakan pelayaran sulungnya pada 25 Mac 2019.  

Kapal perang TCG Kinaliada itu adalah kapal korvet pelbagai guna dengan kemampuan anti-submarine warfare (ASW) dan anti-surface warfare, selain ia juga adalah kapal perang pertama yang dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan, “ATMACA” yang dibangunkan oleh ROKETSAN.

Peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” yang dibangunkan oleh ROKETSAN itu mampu membedil sasaran sejauh 220km.

Memiliki panjang keseluruhan 99.56 meter dan berat 2,465 tan, kapal perang TCG Kinaliada berkemampuan beroperasi sejauh 4,000 Batu Nautika.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kapal perang TCG Kinaliada akan turut mengadakan latihan dengan tentera-tentera laut negara yang disinggahinya dan pelbagai aktiviti yang lain. — DSA

Comments
Loading...