Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Filipina Terima Peluru Berpandu “BrahMos” Pertamanya Hari Ini

(VIDEO) Filipina merupakan pelanggan luar pertama memperolehi sistem peluru berpandu “BrahMos” hasil usahasama India dan Russia dalam varian lancaran darat, yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.

2,563

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara jiran, Filipina hari ini menerima peluru berpandu pertama sistem pertahanan pesisir pantai (coastal missile defence system) “BrahMos”  daripada India bagi membantunya menangani pencerobohan China terhadap perairan miliknya di Laut China Selatan.

Pesawat pengangkut C-17 Globemaster milik Tentera Udara India mendarat di sebuah lapangan terbang Filipina membawa peluru berpandu pertama sistem “BrahMos” dan beberapa komponennya yang lain.

Filipina merupakan pelanggan luar pertama memperolehi sistem peluru berpandu “BrahMos” hasil usahasama India dan Russia dalam varian lancaran darat, yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.

Tiga bateri sistem peluru berpandu “BrahMos” yang diperolehi oleh Filipina itu akan dioperasikan oleh kor marin negara itu.

Setiap sistem peluru berpandu BrahMos itu terdiri daripada dua pelancar, sebuah radar dan pusat kawalan serta pemerintahan.

Dua buah peluru berpandu boleh dilancar dalam tempoh 10 saat sama ada daripada kapal selam, kapal perang, pesawat pejuang dan sistem lancaran darat. 

Manila sepatutnya menerima sistem peluru berpandu pesisir pantainya “BrahMos” pada Februari lalu, tetapi penghantaran sistem itu tertangguh disebabkan keadaan cuaca yang buruk di lokasi penempatannya di negara Asia Tenggara itu.

Disebabkan cuaca buruk, kerja-kerja pembinaan stesen pelancar sistem peluru berpandu itu di Lautan China Selatan tertangguh dan tidak dapat disiapkan.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu BrahMos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas, menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea (Laut Filipina Barat).  

Dengan peluru berpandu BrahMos, kapal-kapal pengawal pantai China perlu “berfikir dua kali” sebelum menghampiri mana-mana pulau atau terumbu karang Filipina di dalam kawasan perairan ZEE Filipina.

BrahMos
(pix credit to owner)

 

Filipina menganugerahkan kontrak pembelian sistem peluru berpandu yang dianggarkan bernilai US$375 juta (RM1.8 billion) kepada syarikat  BrahMos Aerospace Private Ltd yang membangunkan sistem itu pada Januari 2022.

Pembelian termasuk pakej lojistik dan latihan anggota tentera Filipina.

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Filipina memperolehi varian sistem peluru berpandu “BrahMos” lancaran pesisir pantai yang mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Peluru berpandu BrahMos itu membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Peluru berpandu itu merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai.

BrahMos

Dimanakah Filipina akan tempatkan peluru berpandu “BrahMos” ini?

 Laporan daripada Filipina sebelum ini menyatakan bahawa antara lokasi penempatan sistem peluru berpandu BrahMos yang sedang dipertimbangkan oleh Filipina adalah di Basco di Pulau Batan di Bashi Channel, San Felipe di Zambales,  Culion dan Tagbita di Pulau Palawan.

Dengan radius operasi peluru berpandu BrahMos yang bakal dimiliki oleh Filipina adalah sejauh 300km dan jika benar sistem peluru berpandu itu diletakkan di Tagbita di Pulau Palawan, maka ia akan meletakkan salah satu pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly iaitu Mischief Reef dalam kawasan sasarannya peluru berpandu itu.

China telah menambak Mischief Reef, yang asalnya adalah terumbu karang dan menjadikannya sebuah pulau buatan manusia.

Selain Subi Reef dan Fiery Cross,  Mischief Reef adalah pangkalan tentera utama China di Kepulauan Spratly.  — DSA  

Iklan

 

Comments are closed.