(VIDEO) Akibat Menendang Bendera Palestin, Peneroka Haram Yahudi Hampir Terbunuh
(VIDEO) Peneroka haram Yahudi berusia 28 tahun yang juga merupakan anggota simpanan tentera Israel marah selepas terlihat bendera Palestin dipacak di sebuah kawasan bersemak dan bertindak menendangya tanpa menyedari ia adalah jerangkap samar. Bom yang meletup hampir meragut nyawanya,
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang peneroka haram Yahudi nyaris menemui ajal kerana sifat marah dan bencinya terhadap bendera Palestin yang ditemuinya di sebuah kawasan lapang di kawasan penempatan haram Yahudi “Kohav Hashahar” di Tebing Barat.
Lelaki berusia 28 tahun itu yang juga merupakan anggota simpanan tentera Israel itu marah selepas terlihat bendera Palestin dipacak di sebuah kawasan bersemak di tepi lebuhraya dan bertindak menendangya dalam usaha untuk membuang bendera itu.
Apa yang tidak diketahuinya adalah, bendera Palestin itu merupakan jerangkap samar dan sebaik sahaja beliau menendang bendera terbabit sebutir bom kecil meletup daripada bawahnya yang hampir mengorbankannya.
Peneroka haram Israel bersenjatakan pistol yang menendang bendera Palestin itu dikenali dengan nama, Israeli Levi telah mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh serta tangannya dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Visual tindakan bodoh peneroka haram Yahudi itu menendang bendera Palestin dan letupan bom yang meyusul telah dirakam oleh pengguna lebuhraya terbabit dan viral di media-media sosial.
Bercakap kepada media Israel, peneroka haram Yahudi itu berkata bahawa ia adalah letupan yang kuat dan beliau bernasib baik kerana letupan bom itu berlaku di sisinya dan tidak dibawahnya yang berkemungkinan akan mengakibatkan kecederaan yang lebih teruk atau menyebabkannya mati.
Beliau juga berkata bahawa kejadian itu tidak menakutkannya tetapi akan lebih berhati-hati pada masa depan.
Dalam masa yang sama, beliau berikrar akan membalas dendam terhadap sesiapa yang bertanggungjawab memasang jerangkap samar itu.
Tentera Israel dilaporkan telah mengerahkan anggotanya ke lokasi kejadian dalam usaha untuk mencari pihak-pihak yang bertanggungjawab memasang bendera Palestin yang dipasang dengan bom itu.
Insiden yang berlaku hari ini di Tebing Barat itu menyamai insiden pada November pada 2018 apabila empat anggota Israel juga cuba membuang bendera-bendera Palestin yang dipacak di pagar sempadan di Khan Younis di Semenanjung Gaza.
Apa yang tidak diketahui mereka adalah pejuang Palestin telah memasang bahan letupan di salah satu bendera itu dan apabila tentera Israel cuba mencabutnya, terjadi letupan kuat yang menyebabkan empat anggota tentera Israel itu mengalami kecederaan parah.
Insiden itu telah menyebabkan Israel melancarakan serangan udara terhadap Gaza menyebabkan seorang remaja Palestin berusia 17 tahun terbunuh. — DSA
Comments are closed.