Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Afghanistan Tumbang, Presiden Melarikan Diri

Beberapa jam yang lalu, Kementerian Dalam Negeri negara ini mengesahkan bahawa Ashraf telah melarikan diri ke negara jiran, Tajikistan.

0 1,124

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas hampir 20 tahun, Taliban kini menguasai semula Afghanistan selepas kerajaan negara itu yang disokong oleh  Amerika Syarikat pimpinan Presiden Ashraf Ghani secara rasminya “tumbang” apabila militan kumpulan bersenjata itu mara dan menawan ibu negaranya, Kabul.

Beberapa jam yang lalu, Kementerian Dalam Negeri negara ini mengesahkan bahawa Ashraf telah melarikan diri ke negara jiran, Tajikistan.

Pada ketika ini sedang berlangsung rundingan bagi membolehkan Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan selepas ia mara di Kabul tanpa sebarang tentangan daripada angkatan tentera negara ini yang “menyerah diri” dan melarikan diri.

Sejak beberapa minggu lepas, Taliban telah menawan hampir keseluruhan negara ini sebaik sahaja Amerika Syarikat mengumumkan ia akan meninggalkan Afghanistan selepas mendudukinya hampir 20 tahun berikutan kejadian serangan pengganas pada Sept 11, 2001.

Daripada 36 ibu negeri wilayah di Afghanistan, Taliban telah berjaya menawan 24 daripadanya.

Beberapa jam yang lalu, Kementerian Dalam Negeri Afghanistan dan komander militan Taliban mengakui bahawa kumpulan bersenjata itu telah pun memasuki Kabul, simbol kepada kekuasaan dan pentadbiran kerajaan pusat yang disokong oleh Washington.

Kemaraan Taliban di Kabul menandakan betapa tindakan Amerika Syarikat dan NATO dalam membelanjakan ratusan billion dollar untuk membangunkan angkatan tentera Afghanistan merupakan suatu pembaziran.

Ini kerana Taliban hanya mengambil masa beberapa minggu untuk menguasai semula Afghanistan, dengan kebanyakan wilayah tidak memerlukan pertempuran kerana anggota tentera negara menyerah diri dan melarikan diri daripada medan pertempuran.

Media-media tempatan melaporkan bahawa anggota Taliban telah memasuki Kabul daripada setiap penjuru.

Berita tentang kemaraan Taliban di Kabul itu berlaku ketika Amerika Syarikat dan negara-negara asing sedang cuba memindahkan ribuan rakyat mereka, terutamanya yang bertugas di kedutaan negara masing-masing.

Presiden Jo Biden mengerahkan kira-kira 5,000 anggota tentera negara itu ke Kabul untuk membantu memindahkan kakitangan kedutaan negara itu.

Kemaraan militan Taliban di Kabul itu berlaku hanya beberapa jam selepas kumpulan bersenjata itu menawan bandar penting di timur negara itu, Jalalabad, sekaligus menguasai jalan penting menghubungkan Afghanistan dengan Pakistan.

Sementara itu Russia dalam kenyataan rasmi tentang kemaraan Taliban di Kabul menyatakan bahawa ia tidak mengiktiraf kekuasaan kumpulan bersenjata itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...