Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lelaki Sedang Pandu Kereta Maut Ditembak Di Sungai Buloh

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafaa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tembakan itu pada 1.30 tengah hari tadi.

0 1,239

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang lelaki sedang memandu kenderaan utility sukan (SUV) maut ditembak oleh penyerang tidak dikenali di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafaa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tembakan itu pada 1.30 tengah hari tadi.

“Kami dimaklumkan seorang lelaki berusia 42 tahun ditembak ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover di lokasi berkenaan. Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa ditembak sebanyak empat das tembakan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.15 petang.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tembak

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pihak polis di talian 03-61561222.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu.

Bagaimanapun, kata beliau, identiti pelaku masih tidak dapat dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.

“Betul ada kejadian tembak, suspek sedang dikesan. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, mangsa yang maut adalah ‘orang kuat’ sebuah kumpulan gangster di Selangor.

Bagaimanapun, tiada pengesahan mengenai perkara itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...