Serangan USV Ukraine Hampir Sebabkan Kapal Perang Russia “Olenegorsky Gornyak” Karam
Akibat serangan daripada USV pihak Ukraine yang dilengkapi dengan bahan letupan itu, kapal Landing Ship Tank (LST) milik Tentera Laut Russia Project 775 “Olenegorsky Gornyak” telah mengalami kerosakan yang agak teruk.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dibantu dengan maklumat dan data koordinasi daripada aset-aset Intelligence, Suuveillance and Reconnaisance (ISR) udara pihak NATO, bot dron permukaan tanpa pemandu (Unmanned Surface Vessel – USV) Ukraine telah meledak berhampiran sebuah kapal perang Russia di pelabuhan Novorossiysk, Laut Hitam.
Akibat serangan daripada USV pihak Ukraine yang dilengkapi dengan bahan letupan itu, kapal Landing Ship Tank (LST) milik Tentera Laut Russia Project 775 “Olenegorsky Gornyak” telah mengalami kerosakan yang agak teruk.
Gambar terbaru menunjukkan kapal LST bersaiz besar kelas-Ropucha seberat kira-kira 4,000 tan itu kelihatan senget di sisinya ketika ia ditunda ke kawasan pembaikan kapal di pelabuhan terbabit.

Kementerian Pertahanan Russia yang mengesahkan tentang serangan pada waktu malam 4 Ogos itu menyatakan bahawa pihak Ukraine menggunakan dua buah USV dipandu SATCOM (Satellite Commuication) dan dilengkapi bahan letupan untuk melakukan serangan terhadap kapal perangnya itu.
Bagaimanapun,ia berkata pihak pengawal kapal perang itu berjaya memusnahkan USV Ukraine itu ketika ia menghampiri kapal perang “Olenegorsky Gornyak”, tetapi daripada imej-imej yang tersebar menunjukan kapal perang telah mengalami kerosakan akibat insiden itu.
Laporan menyatakan walaupun letupan tidak mengenai kapal itu, namun impak daripada letupan telah meninggalkan lubang di sisi kapal sehingga menyebabkan air laut mencurah masuk ke dalam kapal dan membanjiri beberapa kompartment.
Akibatnya, kapal perang itu telah senget ke sisinya akibat ketidakseimbangan, berpunca daripada impak letupan itu.
Jika USV itu mengenai tepat kapal perang Russia itu, maka sudah pasti kapal perang itu sudah berada di dasar laut pada ketika ini kerana USV itu berkemampuan membawa bahan peledak sehingga 450kg beratnya.
Media-media menyatakan bahawa apa yang dialami oleh kapal LST ““Olenegorsky Gornyak” itu adalah paling signifikan sejak insiden penenggelaman kapal perang “Moskva” oleh peluru berpandu “Neptune” Ukraine di perairan berhampiran Odessa ketika permulaan konflik April tahun lepas.
Walaupun Ukraine tidak lagi mempunyai kapal-kapal perang, tetapi kehadiran bot-bot dron (USV) dilengkapi bahan letupan semakin memberikan ancaman kepada aset-aset maritim pihak tentera laut Russia.
Comments are closed.