Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembangunan Pesawat Pejuang Kebanggaan India, TEJAS Mk-2 Berdepan “Ketidaktentuan”

TEJAS Mk-2 Medium-Weight Fighter (MWF) dibangunkan untuk memberikan Tentera Udara India dengan kemampuan pesawat pejuang kelas sederhana, suatu peningkatan keupayaan berbanding varian pesawat pejuang ringan Tejas Mk-1 yang kini dioperasikan oleh tentera udara negara itu.

0 3,711

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 India, “TEJAS Mk-2” berada di dalam keadaan “terumbang-ambing” disebabkan ketiadaan peruntukan,walaupun kerajaan negara itu telah pun meluluskan program itu tahun lepas.

TEJAS Mk-2 Medium-Weight Fighter (MWF) dibangunkan untuk memberikan Tentera Udara India dengan kemampuan pesawat pejuang kelas sederhana, suatu peningkatan keupayaan berbanding varian pesawat pejuang ringan TEJAS Mk-1 yang kini dioperasikan oleh tentera udara negara itu.

TEJAS Mk-2 dan TEJAS Mk-1 direkabentuk dan dibangunkan oleh agensi kerajaan India, Aeronautical Development Agency (ADA) dan Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

Tejas
Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

India membangunkan TEJAS Mk-2 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang Mirage dan Jaguar Tentera Udara India.

Pada Sept tahun lepas, kerajaan India dilaporkan telah melulus program pembangunan pesawat pejuang TEJAS Mk-2 dengan mengenalpasti peruntukan sebanyak US$1.2 bilion  untuk membiayai program terbabit.

Bagaimanapun media-media tempatan menyatakan bahawa walaupun kelulusan oleh kerajaan India itu dibuat pada tahun lepas, namun sehingga kini program pembangunan pesawat pejuang masih tertunggu-tunggu peruntukan kewangan itu.

Difahamkan kerajaan India telah meletakkan syarat sebelum menyalurkan peruntukan itu.

Media pertahanan antarabangsa menyatakan bahawa kerajaan India telah meletakkan syarat bahawa ia akan hanya menyalurkan peruntukan itu selepas kerajaan Amerika Syarikat bersetuju untuk memindahkan 100 peratus teknologi enjin pesawat kepada India.

Pada tahun 2010, India memilih enjin GE 414 yang dibangunkan oleh syarikat GE Aviation daripada Amerika Syarikat untuk digunakan oleh pesawat pejuang TEJAS itu.

Tejas

Sumber menyatakan kepada media India bahawa New Delhi mahukan Amerika Syarikat memindahkan 100 peratus teknologi pembuatan enjin GE 414 kepada negara itu, sekaligus menyebabkan program pembangunan pesawat TEJAS Mk-2 itu berhadapan dengan ketidaktentuan.

Kerajaan Amerika Syarikat memerlukan kelulusan daripada anggota kongres negara itu sebelum ia dibenarkan memberi keputusan tentang pemindahan teknologi berkenaan pembuatan enjin pesawat pejuang itu.

Setakat ini tiada kepastian Kongres Amerika Syarikat akan meluluskan permintaan bagi pemindahan teknologi pembuatan enjin itu.

Pemerhati pertahanan di India menyatakan untuk program pembangunan pesawat pejuang TEJAS Mk-2 itu berjaya, enjin pesawat itu perlu dihasilkan dalam negara.

Jika program pembangunan pesawat itu gagal membina enjinnya dalam negara dan bergantung pada import, ia akan berdepan dengan kegagalan sebagaimana program pesawat pejuang “Marut” sebelum ini.

Tejas
Enjin jet General Electric GE 414 yang digunakan oleh pesawat Tejas.

 

Perdana Menteri India Narendra Modi mahu enjin pesawat pejuang TEJAS Mk-2 itu dibuat dalam negara, selari dengan slogannya “Make In India.”

Modi dijangka melakukan lawatan ke Amerika Syarikat pada bulan depan di mana beliau dijangka mencapai persetujuan dengan Presiden Jo Biden tentang bidang-bidang kerjasama dua hala termasuk berkait-rapat dengan pertahanan dan keselamatan.

Kerajaan India berharap keputusan tentang pemindahan teknologi enjin yang akan digunakan pada pesawat TEJAS Mk-2 itu akan dicapai ketika lawatan Modi ke Amerika Syarikat itu. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...