Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

USS Ronald Reagan Di Selat Melaka, Menuju ke Laut China Selatan

USS Ronald Reagan dijangka mengambil alih tugas sebuah lagi kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson (CVN-70) yang baru sahaja meninggalkan Laut China Selatan beberapa hari lepas, selepas “pertembungan” dengan kapal-kapal China di utara Laut Natuna.

0 2,185

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Ronald Reagan (CVN-76) dikesan berada di Selat Melaka menuju ke Laut China Selatan yang terletak di bawah operasi 7th Fleet tentera laut negara itu.

Kehadiran USS Ronald Reagan di Laut China Selatan dijangka akan meningkatkan ketegangan di perairan strategik itu.

USS Ronald Reagan dijangka mengambil alih tugas sebuah lagi kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson (CVN-70) yang baru sahaja meninggalkan Laut China Selatan beberapa hari lepas, selepas berlakunya “pertembungan” dengan kapal-kapal China di utara Laut Natuna.

USS Carl Vinson kini dipercayai berada tidak jauh daripada perairan pulau Taiwan.

Selaras dengan kehadiran USS Carl Vinson berhampiran Taiwan, China telah mengerahkan 19 buah pesawat tenteranya termasuk pesawat pengebom untuk menceroboh Air Defence Identification Zone (ADIZ) Taiwan.

Ronald
Kapal pengangkur pesawat USS Ronald Reagan di Selat Melaka menuju ke Laut China Selatan.

 

Di antara pesawat-pesawat China yang menceroboh ADIZ Taiwan, ia termasuk 12 pesawat J-16 dan dua buah pesawat pengebom H-6.

Sebelum ketibaannya di Selat Melaka, USS Ronald Reagan menghabiskan masa selama 3 bulan menyokong operasi tentera Amerika Syarikat di kawasan 5th Fleet terutamanya di perairan Laut Arab bagi membantu operasi pemindahan rakyat Amerika Syarikat daripada Afghanistan.

Kehadiran kapal pengangkut pesawat itu di Selat Melaka dipercayai diiringi oleh kapal cruiser USS Shiloh (CG 67) dan kapal destroyer USS Halsey (DDG 97).

Persoalan ketika ini berkisar sama ada USS Ronald Reagan itu akan belayar di utara Laut Natuna untuk meninjau lebih dekat aktiviti kapal penyelidik China, Hai Yang Di Zhi 10 yang didakwa berada di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia bersama-sama kapal pengawal pantai negara itu.

Ronald Regan
Pesawat-pesawat F-18 Super Hornet di atas dek penerbangan kapal USS Ronald Reagan.

 

Adakah USS Ronald Reagan akan menyambung kerja USS Carl Vinson di Laut Natuna itu?

Kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China di dakwa menganggu operasi cari gali minyak yang sedang diusahakan oleh Indonesia dengan rakan kongsi asingnya di Blok Tuna, utara Laut Natuna itu.

Kapal-kapal China itu dikatakan menganggu operasi pelantar minyak “Clyde Boudreaux” di Laut Natuna.

Sebagai respons, pihak berkuasa Indonesia turut mengerahkan kapal penguatkuasaanya dan Tentera Laut ke kawasan perairan di Laut Natuna untuk memantau aktiviti yang dilakukan oleh kapal-kapal milik China itu.

Jakarta menghantar sekurang-kurang empat buah kapal penguatkuasanya ke Laut Natuna itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...