Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

APMM Tenggelamkan 306 Bot Nelayan Asing Bernilai RM459 Juta Sejak 2007

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, APMM melupuskan kesemua bot yang dirampas itu secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan.

0 1,449

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak tahun 2007 sehingga kini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melupuskan sebanyak 306 buah bot milik nelayan asing yang dianggarkan bernilai RM459 juta menerusi kaedah penenggelaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, APMM melupuskan kesemua bot yang dirampas itu secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan.

Tukun-tukun tiruan itu ditempatkan di sekitar pulau-pulau di perairan Kelantan dan Terengganu.

“Kawasan tukun tiruan memberi satu kesan jangka panjang sebagai habitat baharu untuk ekosistem marin, menjadi peranti pemuliharaan biodiversiti marin serta tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut.

“Tukun ini juga akan menjadi tarikan di kawasan taman-taman laut di Pantai Timur bagi merancakkan lagi sektor pelancongan,” katanya kepada pemberita di perairan Pulau Susu Dara di sini, hari ini.

APMM
Gambar Hiasan

 

Terdahulu, tiga bot nelayan asing ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di sekitar Pulau Susu Dara, 10 batu dari muara Tok Bali.

Proses penenggelaman kesemua bot itu mengambil masa hampir sejam.

Menurut Kamaruszaman, ketiga-tiga bot yang dilupuskan itu dilucut hak dan ditahan Kapal Maritim (KM) Langkawi serta bot Penggalang 14 atas kesalahan menceroboh serta melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan Pahang pada 2019.

“Tiga bot yang dilupuskan ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan dengan pelupusan ini, ia sekali gus mengurangkan kesesakan di Jeti Pusat Tahanan Vesel,” katanya.

APMM
Gambar Hiasan

 

Katanya, proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan ini mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (Ismat) bagi memastikan kesesuaian lokasi, tidak menjejaskan biodiversiti marin selain memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai.

“Dalam masa terdekat ini, APMM Pahang akan menenggelamkan tiga lagi bot untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Tioman selepas mendapat keputusan pelucutan hak daripada mahkamah.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...