(UPDATE/VIDEO) Dua Buah Eurofighter Typhoon Mendarat di Turkiye untuk Pemeriksaan
(VIDEO) Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat itu yang berhadapan dengan “masalah” penentangan daripada kerajaan Jerman terhadap perolehan itu sebelum ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Royal Air Force (RAF) telah mendarat di Pangkalan Udara Murted, Ankara, ibu negara Türkiye, untuk pemeriksaan oleh pegawai Turkiye, ketika Ankara sedang berusaha untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang yang dibangunkan oleh empat buah negara Eropah.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali, dengan penjualannya memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara itu.
Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat itu yang berhadapan dengan “masalah” penentangan daripada kerajaan Jerman terhadap perolehan itu sebelum ini.
Kini, selepas Jerman mengugurkan penentangannya terhadap cadangan perolehan oleh Turkiye, maka kedua-dua pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu tiba di Ankara untuk pemeriksaan.
“Pesawat (Eurofighter Typhoon) yang tiba untuk pemeriksaan oleh Tentera Udara kami (Turkiye) telah disambut oleh Menteri Negara untuk Perolehan dan Industri Pertahanan United Kingdom Maria Eagle, bersama Panglima Tentera Udara Jeneral Ziya Cemal Kadıoğlu, Timbalan Menteri Şuay Alpay, serta anggota tentera kami yang bertugas,” menurut kenyataan yang dikongsi oleh Kementerian Pertahanan Turkiye di platform X.