Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jerman “Bengang” Dengan Turkiye, Enggan Jual Eurofighter Typhoon Pada Ankara

Bengang dengan Turkiye yang mengkritik "rakan baiknya" iaitu Israel, Canselor Jerman Olaf Scholz dikatakan bakal bertindak balas terhadap Ankara dengan menghalang hasrat negara Mediterranean itu untuk membeli 20 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

0 7,211

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan Turkiye melemparkan kritikan-kritikan keras terhadap Israel dalam serangannya di Semenanjung Gaza telah membangkitkan kemarahan “rakan baik” Tel Aviv iaitu Jerman, yang akan melakukan tindak-balas terhadap Ankara.

Canselor Jerman Olaf Scholz dikatakan bakal bertindak balas terhadap Turkiye dengan menghalang hasrat Ankara untuk membeli 20 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Canselor dijangka tidak akan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon,” menurut seorang pegawai kanan Jerman kepada media antarabangsa.

Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dikatakan akan mengemukakan permohonan negara itu untuk membeli 20 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dalam pertemuan dengan Canselor Jerman itu di Berlin pada Jumaat ini.

Erdogan mahu Jerman menarik balik larangan eksport senjata yang dikenakan oleh Berlin terhadap Ankara bagi membolehkan negara Mediterranean memulakan proses perolehan untuk memperolehi pesawat pejuang buatan empat negara Eropah itu.Typhoon

Sekiranya Jerman secara rasmi menolak permohonan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, maka sudah pasti hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara anggota NATO itu akan menjadi lebi buruk.

Berikutan serangan ganas dan kejam Israel terhadap Gaza yang sehingga kini yang telah mengorbankan lebih daripada 11,000 penduduknya terutama kanak-kanak dan wanita, Turkiye yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah mengutuk Tel Aviv termasuk memanggilnya “negara pengganas.”

Turkiye juga enggan mengelar Hamas sebagai organisasi pengganas, sebagai dilakukan oleh negara-negara Eropah dan negara anggota NATO yang lain.

Tindakan kerajaan pimpinan Erdogan itu tidak disenangi oleh Jerman yang merupakan negara penyokong kuat kepada Israel dan tindakan ketenteraannya terhadap Hamas dan bumi Semenanjung Gaza.

Akibatnya hubungan Jerman yang memiliki penduduk etnik Turk terbesar di Eropah dengan Ankara menjadi lebih buruk.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang mahu dibeli oleh Turkiye itu dibina oleh empat buah negara Eropah, United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Typhoon

Persetujuan daripada keempat-empat negara diperlukan sebelum pesawat itu dibenarkan dijual kepada mana-mana negara.

Turkiye mahu memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bagi menggantikan pesawat pejuang F-4 Phantom miliknya yang telah berusia dan mesti digantikan dengan segera.

Ia perlu bertindak dengan pantas untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia terutamanya selepas dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.

Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 oleh Amerika Syarikat selepas Turkiye meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Bagi menampung keperluan bagi pesawat-pesawat pejuang moden, Turkiye telah memulakan pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri yang dipanggil “KAAN”, tetapi ia dijangka akan hanya beroperasi pada tahun 2028-2029.

Cadangan perolehan 20 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu berkemungkinan adalah fasa pertama, dengan perolehan lebih banyak pesawat pejuang itu bakal dilakukan pada fasa-fasa seterusnya.

Apakah pilihan Turkiye sekiranya cadangan untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu ditolak oleh Jerman? — DSA

Comments
Loading...