Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Tegas Ia Tidak Akan Pindahkan S-400 “Triumf” Miliknya Kepada Negara Lain

Pada ketika Ukraine sedang berhadapan dengan kekurangan sistem pertahanan udara yang amat kritikal untuk mempertahankannya dari serangan udara dan peluru berpandu Russia, Turkiye pula mengulangi pendiriannya untuk tidak memindahkan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” miliknya kepada mana-mana negara lain.

10,078

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada ketika Ukraine sedang berhadapan dengan kekurangan sistem pertahanan udara yang amat kritikal untuk mempertahankannya dari serangan udara dan peluru berpandu Russia, Turkiye pula mengulangi pendiriannya untuk tidak memindahkan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” miliknya kepada mana-mana negara lain.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pertahanannya Yasar Guler, ketika spekulasi bertiup kencang bahawa Amerika Syarikat telah meminta Turkiye memindahkan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya itu kepada Ukraine.

Pemindahan sistem pertahanan udara S-400 ke Ukraine itu dilaporkan adalah syarat utama dikenakan oleh Washington terhadap Ankara sebelum ia menerima kembali Turkiye ke dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35.

“Memberikan sistem pertahanan udara S-400 milik kami kepada negara lain adalah di luar persoalan,” kata Menteri Pertahanan Turkiye itu kepada stesen televisyen di negara itu tentang cadangan pemindahan sistem pertahanan udara itu kepada negara lain.

Turkiye membelanjakan sejumlah US$2.5 billion (RM11.5 bilion) untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia, dengan penghantaran sistem itu telah dilaksanakan oleh Moscow pada 2019.

S-400
S-400 “Triumf”

 

Tindakan Ankara memperolehi sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia telah menyebabkan kemarahan Washington yang bertindak mengeluarkan Turkiye daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 dan mengenakan sekatan ketenteraan.

Dibawah program pembangunan pesawat pejuang itu, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi sejumlah 100 buah pesawat pejuang F-35 untuk tentera udaranya.

Amerika Syarikat dilaporkan telah mempertingkatkan usahanya mendapatkan sistem pertahanan udara terutamanya buatan Russia untuk diberikan kepada Ukraine berikutan kekurangan sistem pertahanan udara yang amat kritikal dihadapi oleh Kiev pada ketika ini.

Selain Turkiye, Amerika Syarikat juga dilaporkan telah meminta Greek untuk “menyerahkan” sistem pertahanan udara S-300 miliknya kepada Ukraine dan beberapa negara lain yang mengoperasikan sistem pertahanan udara buatan Russia.

Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain telah membekalkan sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot untuk mempertahankan Ukraine tetapi serangan berterusan oleh Russia menyebabkan bekalan peluru-peluru berpandu Patriot itu semakin berkurangan dengan amat kritikal.

S-400
Peluru berpandu terbaru 40N6 digunakan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf”.

 

Selain itu, Russia juga didakwa telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara Patriot bersama-sama sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh negara-negara NATO.

Spekulasi bahawa Turkiye mungkin bersetuju untuk “menyerahkan” sistem pertahanan udara S-400 milik kepada Ukraine atas desakan Amerika Syarikat bertiup kencang, terutamanya selepas lawatan  Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland ke negara Mediterranean pada akhir Januari lepas.

Dalam temuramah dengan media Turkiye, Nuland menyatakan bahawa Washington bersedia “menerima kembali” negara Mediterranean itu ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima itu.

 “Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”

“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.

Duta Amerika Syarikat ke Turkiye Jeff Flake baru-baru ini menyatakan ketika melawat Turkiye Januari lalu, Nuland telah “mencadangkan jalan penyelesaian” terhadap isu perolehan F-35 oleh negara Mediterranean itu.

Beliau tidak menjelaskan dengan lanjut tentang “jalan penyelesaian itu” tetapi ia dipercayai berkait-rapat dengan penyerahkan sistem pertahanan udara S-400 milik Turkiye itu kepada Ukraine untuk digunakan bagi menangani serangan udara Russia.

Turkiye
Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler

 

Spekulasi bertiup kencang di Turkiye bahawa kenyataan Nuland dan Flake itu berkemungkinan membawa maksud sekatan CAATSA yang dikenakan oleh Washington terhadap Turkiye itu berkemungkinan akan ditarik balik dan Ankara bakal dibenar meneruskan kembali pembelian 100 buah pesawat pejuang F-35 itu.

Malah enam daripada 100 buah pesawat F-35 milik Turkiye itu telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi disebabkan sekatan CAATSA oleh Washington itu, maka keenam-enam pesawat itu kini “tersadai” dalam hangar di negara Uncle Sam itu.

Bayaran pendahuluan sebanyak US$1.4 billion (RM5.4 billion) yang Turkiye telah bayar kepada Amerika Syarikat bagi penyertaannya dalam program pembangunan F-35 juga sehingga kini masih berada di dalam pegangan Washington, yang enggan memulangkannya balik.

Malah bukan sahaja Washington enggan memulangkan balik US$1.4 billion wang pendahuluan dibuat oleh Turkiye itu, tetapi Washington juga meminta Ankara membayar US$30 juta kerana mereka terpaksa menyelenggara keenam-enam pesawat F-35 milik negara Mediterranean itu yang kini “tersadai” di Amerika Syarikat itu. — DSA

 

 

Comments are closed.