Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

STM Dari Turkiye Tonjol Enam Projek Di LIMA ’23, Termasuk Korvet Kelas-Ada

Rekabentuk kapal korvet kelas-ADA yang dibangunkan oleh syarikat STM daripada Turkiye itu disebut-sebut sebagai rekabentuk pilihan Kementerian Pertahanan untuk program pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

0 3,683

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat STM Defense Technologies Engineering and Trade Inc (STM) daripada Turkiye akan menampilkan enam projek tentera laut yang telah dan sedang diusahakannya pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), bermula Selasa ini sehingga 27 Mei.

Antara projek tentera laut yang akan ditampilkan oleh STM pada LIMA 2023 kali ini adalah projek pembinaan kapal korvet kebangsaan Turkiye kelas-Ada, projek pembinaan kapal friget kebangsaan Turkiye kelas-I dan Marine Supply Tanker yang dibina untuk Tentera Laut Pakistan.

Projek-projek yang akan ditonjolkan oleh STM pada LIMA kali ini adalah projek kapal selam kecil kebangsaan Turkiye menggunakan sumber syarikat sendiri dan diberi nama STM500, bot torpedo STM MPAC dan kapal pengawal pantai CG-3100.

Kelas-Ada

Pengurus besar STM Özgür Güleryüz dipetik berkata oleh media pertahanan Turkiye bahawa syarikat berkeupayaan memenuhi segala keperluan Malaysia.

“Kami mempunyai pengalaman, kejuruteraan dan teknologi untuk memenuhi segala keperluan negara sahabat Malaysia untuk platform-platform yang moden dengan cepat. Kami mahu memeterai kolaborasi baru di rantau Asia Pasifik terutamanya di dalam bidang maritime,” kata beliau.

STM menurutnya, bersedia untuk memindahkan pengalaman kejuruteraan dan teknologi kepada negara-negara sahabat dan bersaudara dengan Turkiye.

“Di dalam skop aktiviti rekabentuk, pembinaan dan pemodenan platform permukaan dan kapal selam tentera laut bagi memastikan ia mampu melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan, kami (STM) menghasilkan penyelesaian kejuruteraan yang fleksibel dan mengikut kehendak pelanggan,” kata Ozgur.  

STM
Pengurus besar STM Özgür Güleryüz

 

Rekabentuk kapal korvet kelas-ADA yang dibangunkan oleh STM disebut-sebut sebagai rekabentuk pilihan Kementerian Pertahanan untuk program pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II.

Kementerian Pertahanan dijangka akan memulakan usaha perolehan tiga buah kapal LMS Batch II daripada lapan buah pada tahun ini.

Lima buah lagi kapal-kapal LMS Batch II akan diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-13.

Tentera Laut Turki mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-ADA pada masa ini manakala empat buah juga untuk Tentera Laut Pakistan manakala sebuah kapal korvet kelas-ADA untuk Tentera Laut Ukraine.

STM

Kapal korvet kelas-ADA ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-ADA ini dipacu oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-ADA memiliki berat maksimum 2,400 tan.

Kapal perang kelas-ADA ini dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

STM
Kapal friget kebangsaan Turkiye kelas-I yang dibangunkan oleh syarikat STM.

 

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal Harpoon atau Atmaca yang dibangunkan oleh Turki sendiri. 

Terdapat laporan mengatakan bahawa kapal-kapal LMS Batch II milik TLDM itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) buatan firma Kongsberg daripada Norway, sepertimana yang terdapat pada kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM.

Kapal kelas-ADA juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46.  — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...