Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Membangunkan Enjin Sendiri, Penentu “Hidup Mati” Industri Pertahanan Turkiye

Memandangkan Turkiye kini mula membangunkan pesawat-pesawat pejuangnya sendiri seperti "Hurkus","Hurjet" dan pesawat generasi kelima, TF-X, maka kemampuan menghasilkan enjin sendiri yang akan memacu pesawat-pesawat pejuang itu adalah amat penting untuk memastikan kelestarian industri itu. Kemampuan menghasilkan enjin sendiri diibaratkan sebagai penentu "hidup dan mati" bagi industri pertahanan Turkiye.

0 4,755

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Industri pertahanan Turkiye bukan sahaja menghasilkan pelbagai sistem persenjataan untuk kegunaan dalam negara dan luar negara, tetapi ia juga membangunkan pelbagai jenis enjin untuk memacu industri pertahanan itu dan membebaskannya daripada pergantungan pihak serta negara luar.

Enjin dianggap sebagai komponen terpenting bagi sistem persenjataan keluaran industri pertahanan Turkiye dan bagi Ankara ia boleh menentukan sama ada industri pertahanannya benar-benar bebas dan berdikari daripada cengkaman pihak luar.

Memandangkan Turkiye kini mula membangunkan pesawat-pesawat pejuang seperti “Hurkus”,”Hurjet” dan pesawat generasi kelima, TF-X, maka kemampuan menghasilkan enjin sendiri yang akan memacu pesawat-pesawat pejuang itu adalah amat penting untuk memastikan kelestarian industri itu.

Enjin

Kemampuan menghasilkan enjin ini diibaratkan sebagai penentu “hidup dan mati” bagi industri pertahanan Turkiye.

Tusas Engine Industries (TEI) merupakan syarikat yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Turkish Aircraft Industries (TAI) dan GE Aviation serta beberapa pihak tempatan yang lain.

TEI bermula dengan menghasilkan enjin GE F110 secara berlesen yang digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Turki yang dihasilkan secara berlesen di dalam negara.

Ia juga menghasilkan secara berlesen enjin-enjin yang digunakan oleh helikopter T-70 (varian tempatan untuk helikopter S-70) dan LHTEC yang digunakan oleh helikopter penyerang T129 ATAK yang dibangunkan oleh TAI.

Enjin-enjin yang dibangunkan oleh TEI amat penting kerana ia digunakan oleh pelbagai roket dan peluru berpandu yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat pertahanan Turkiye untuk pasaran dalam dna luar negara.

T129 ATAK
Helikopter Penyerang T129 ATAK

 

Kini syarikat TEI sedang membangunkan enjin turbofan paling berkuasa pernah dihasilkannya iaitu TEI-TF10000 yang merupakan varian enjin turbofan terdahulu iaitu TEI-TF6000.

Enjin turbofan TEI-TF10000 yang diperkenalkan pada Disember tahun lepas itu dibangun untuk memberikan 10,000 pound kuasa tujahan.

Enjin TEI-TF10000 direkabentuk untuk pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma” yang dibangunkan oleh syarikat pembuat dron terkenal negara itu, Baykar Technology dan beroperasi daripada kapal perang terbesar negara itu, TCG Anadolu.

Selain itu, enjin itu juga digunakan untuk bot-bot penyerang laju, loji janakuasa, pesawat-pesawat komersial.

Enjin itu berkemampuan memberikan jalan penyelesaian kepada helikopter ATAK-2.

Kizilelma
Pesawat pejuang tanpa pemandu Turki “Kizilelma” ketika melakukan penerbangan sulungnya pada Disember tahun lepas.

 

Enjin TEI-TF10000 yang dibangunkan oleh TEI itu merupakan suatu pencapaian teknologi yang penting bagi Turkiye dalam usahanya untuk merekabentuk dan membangunkan enjin untuk pesawat pejuang  generasi kelimanya, National Combat Aircraft (TF-X).

Enjin TEI-TF10000 itu adalah asas kepada pembangunan enjin buatan tempatan yang bakal melengkapkan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, TF-X.

Bagaimanapun pesawat-pesawat prototaip TF-X menggunakan enjin GE F110, tetapi pesawat produksi bersiri itu akan menggunakan enjin tempatan.

Turkiye enggan melalui satu lagi episod malang sebagaimana yang berlaku dua tahun lepas apabila negara itu gagal menjual 30 buah helikopter penyerang T129 ATAK kepada Pakistan, walaupun kedua-dua negara telah mencapai persetujuan mengenainya.

Ia gagal menjual helikopter penyerang itu kepada Pakistan kerana Amerika Syarikat enggan memberikan kelulusan eksport bagi enjin LHTEC  T800-4A  yang digunakan oleh helikopter penyerang buatan Turkiye  itu.

Helikopter penyerang T129 ATAK menggunakan dua enjn dan merupakan helikopter penyerang berdasarkan kepada helikopter Agusta A129 Mangusta.

TF-X
Pesawat prototaip Gen-5 Turkiye, TF-X dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

Helikopter penyerang T129 ATAK menggunakan enjin yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Honeywell dan Rolls-Royce daripada United Kingdom.

 Turki dan Pakistan menandatangani perjanjian bernilai US$1.5 bilion (RM6 bilion) pada 2018 untuk memperolehi 30 buah helikopter penyerang berkenaan.

Sekatan daripada pihak Amerika itu berpunca daripada pembelian sistem pertahanan udara S-400 oleh Turki daripada Russia.

Helikopter T129 ATAK itu dibangunkan oleh syarikat TAI dengan kerjasama Agusta-Westland.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat memberikan lesen eksport enjin apabila Turki menjual enam buah helikopter T129 ATAK kepada Filipina, memandangkan Manila merupakan sekutu utamanya. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...