Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perolehan Sistem Meriam Bergerak Juga Dilakukan Secara G-to-G?

Perolehan sistem persenjataan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara Kerajaan-dengan-Kerajaan (G-to-G) semakin mendapat tempat, dengan kemungkinan perolehan sistem meriam bergerak (Self Propelled Howitzer) juga bakal menggunakan kaedah itu.

0 5,087

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 19 Januari yang lalu, Kementerian Pertahanan telah mengumumkan keputusannya untuk membatalkan lima perolehan membabitkan bekalan, perkhidmatan dan projek infrastruktur sebagai langkah mengelak berlakunya ketirisan sekiranya perolehan-perolehan terbabit diteruskan.

Kenyataan pada Januari itu tidak menyatakan lima perolehan yang dibatalkan oleh kementerian, bagaimanapun Defence Security Asia dimaklumkan oleh sumber beberapa hari selepas  itu bahawa ia membabitkan cadangan perolehan sistem perolehan meriam bergerak (SPH) daripada syarikat Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE)

Dalam jawapan bertulis oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah membatalkan cadangan perolehan sistem meriam bergerak itu pada 16 Januari 2023.

Lahad Datu
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan (kredit FB Tok Mat)

 

Jawapan oleh beliau itu hanya mengesahkan maklumat oleh sumber kepada Defence Security Asia beberapa bulan lepas bahawa cadangan perolehan meriam daripada Turkiye itu adalah satu daripada lima perolehan yang dibatalkan oleh Kementerian Pertahanan.

Tidak dapat dinafikan bahawa cadangan perolehan 18 unit sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh syarikat MKE daripada Turki itu agak kontroversial kerana ia dilakukan secara rundingan terus.

Syarikat MKE dan rakan tempatannya, MA Analytics telah menandatangani MoU kerjasama dalam pemasaran sistem meriam itu pada 2021.

Kerajaan didakwa bercadang memperolehi 18 buah sistem SPH buatan Turki dan segala sistem sokongannya yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM800 juta itu menerusi rundingan terus dan bukan tender terbuka.

Walaupun belum lagi dianugerahkan kepada pemenang, tetapi cadangan perolehan sistem Self Propelled Howitzer (SPH) untuk Tentera Darat menjadi “hangat” pada tahun lepas selepas ahli politik tempatan mendedahkan bahawa kerajaan telah mengeluarkan Surat Niat (Letter of Intent) kepada MA Analytics bagi perolehan sistem itu.

CAESAR
Meriam SPH Bergerak “Caesar” 155mm 52-cal yang dibangunkan oleh NEXTER Systems.

 

Walaupun begitu, Menteri Pertahanan dalam jawapan bertulisnya kepada Dewan Rakyat itu turut menyatakan bahawa kementeriannya bersama agensi-agensi pusat sedang berbincang untuk memperolehi sistem persenjataan terbabit menerusi kerajaan-dengan-kerajaan (Government-to-Government).

Perolehan menggunakan kaedah G-to-G adalah langkah terbaik untuk memastikan kementerian memperolehi sistem meriam bergerak itu pada harga yang amat kompetitif, telus dan tanpa sebarang kelewatan tanpa menggunakan sebarang “orang tengah.”

Nampaknya, kaedah perolehan menggunakan kaedah G-to-G semakin mendapat tempat di Kementerian Pertahanan,selepas ia menggunakan kaedah yang sama di dalam perolehan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.

Yavuz SPH
Sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh gergasi industri pertahanan Turkiye, MKE.

 

Kementerian Pertahanan sedang berundingan dengan agensi kerajaan Turkiye berkenaan perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2, malah Menteri Pertahanan telah pun berkunjung ke negara Mediterranean itu baru-baru ini untuk memulakan proses perolehan kapal-kapal perang itu.

Cuma untuk perolehan secara G-to-G untuk sistem meriam bergerak itu, dengan negara apakah kerajaan kita sedang berunding?

Adakah ia membabitkan rundingan dengan Perancis, Turkiye, China, United Kingdom atau Slovakia? — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...