Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Lulus Pengeluaran Bersiri Pesawat FLIT/LCA “Hurjet”

Pesawat FLIT/LCA “Hurjet” merupakan salah satu pesawat FLIT/LCA yang bersaing dalam tender terbuka antarabangsa Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA  bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

0 5,468

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Turki telah memberikan kelulusan kepada syarikat negara itu, Turkish Aerospace Industries (TAI) untuk memulakan pengeluaran bersiri (serial production) pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan (FLIT/LCA) “Hurjet”.

Keputusan untuk memulakan pengeluaran bersiri pesawat pejuang ringan, “Hurjet” itu diambil pada 12 Jan lalu oleh badan pembuat keputusan tertinggi mengenai perolehan alatan pertahanan negara itu dipanggil “ Defence Industry Executive Committee” yang dipengerusikan oleh presiden negara itu, Recep Tayyep Erdogan.

Tidak pasti, TAI sebagai pihak yang bertanggungjawab membangunkan pesawat itu akan mengeluarkan berapa banyak pesawat pejuang ringan itu.

Pesawat FLIT/LCA “Hurjet” merupakan salah satu pesawat FLIT/LCA yang bersaing dalam tender terbuka antarabangsa Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA  bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kementerian Pertahanan dijangka memutuskan syarikat pemenang tender itu pada tahun ini.

Hurjet
Hurjet

 

Keputusan untuk melancarkan pengeluaran bersiri pesawat FLIT/LCA Turki itu diambil lebih daripada sebulan selepas Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil berkunjung ke Malaysia untuk menyaksikan pembukaan pusat kejuruteraan dan rekabentuk milik TAI yang pertama di Asia Tenggara di Cyberjaya.

Kotil turut dilapor mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika bertemu dengan media-media di Malaysia, beliau menawarkan untuk mengeluarkan pesawat FLIT/LCA “Hurjet” itu di Malaysia sekiranya TAI dipilih sebagai pemenang dalam tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18 buah pesawat terbabit.

“Kami (TAI) mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu (Hurjet) kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media pada akhir November tahun lepas itu.  

Sekiranya bidaan oleh syarikat TAI itu berjaya, Kotil berkata, 15 pesawat FLIT/LCA  “Hurjet” itu akan dikeluarkan di Malaysia manakala tiga buah lagi di Turki.

Hurjet

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Menurutnya, pengeluaran pesawat “Hurjet” di Malaysia bertujuan mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.

Perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA yang akan menggantikan pesawat Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM itu akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030).

Selain TAI dan “Hurjet”, beberapa syarikat lain yang turut membida tender Kementerian Pertahanan itu termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) yang menawarkan pesawat  FA-50,  pesawat JF-17 “Thunder” daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group.

Manakala China National Aero-Technology Import & Export  (CATIC) pula menawarkan pesawat  Hongdu L-15B, Hindustan Aeronautics Limited (HAL) pula menawarkan pesawat “Tejas”, Yakovlev Yak-130, Leonardo M-346 Fighter Attack, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.

Hurjet

TAI melancarkan program pembangunan “Hurjet” pada 2018, dengan sasaran asal penerbangan sulung pesawat itu pada tahun ini.

Sementara itu, seorang pegawai perolehan kerajaan Turki yang dipetik oleh portal pertahanan antarabangsa, Defense News berkata, potensi eksport bagi “Hurjet” akan meningkatkan apabila pesawat itu mula digunakan oleh angkatan tentera Turki.

“Rundingan untuk mengeksport “Hurjet” bertambah baik apabila kerajaan Turki membuat keputusan secara formal untuk memulakan pengeluaran bersiri pesawat itu,” kata pegawai terbabit.

Hurjet

Pesawat FLIT/LCA “Hurjet” bakal memiliki kelajuan maksimum Mach 1.2 dan berkemampuan terbang pada altitud maksimum 45,000 kaki.

Ia direkabentuk untuk membawa bebanan sebanyak 3 tan.

Menurut TAI, “Hurjet” akan menggantikan pesawat Northrop Grumman T-38 Talon yang digunakan oleh Tentera Udara Turki pada ketika ini. — DSA

Hurjet

Comments
Loading...