Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkish Aerospace Buka Pejabat Kejuruteraan, Rekabentuk Di Malaysia

Di pusat kejuruteraan dan rekabentuk TAI di Cyberjaya itu, jurutera-jurutera Malaysia dan Turki akan melaksanakan kajian bersama di dalam beberapa bidang seperti pesawat tanpa pemandu, pesawat latihan, projek helikopter dan program permodenan penerbangan antarabangsa.

0 8,525

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Gergasi aeroangkasa dan pertahanan Turki, Turkish Aerospace Industries (TAI) telah membuka pusat kejuruteraan dan rekabentuk yang pertamanya di Asia Tenggara di Cyberjaya.

Menurut TAI, ia komited dalam untuk meneruskan pelaburan dan kerjasamanya di Malaysia untuk membangunkan teknologi-teknologi generasi baru terutamanya di dalam industri pertahanan dan penerbangan.

Setakat ini, syarikat Turki itu mempunyai 10 buah pejabat teknologi di seluruh dunia.

Jurutera-jurutera Malaysia dan Turki akan melaksanakan kajian bersama di dalam beberapa bidang seperti pesawat tanpa pemandu, pesawat latihan, projek helikopter dan program permodenan penerbangan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TAI Temel Kotil yang hadir majlis perasmian pejabat itu berkata, syarikat akan menganjurkan kajian-kajian penting oleh Malaysia dan Turki di dalam bidang penerbangan, angkasa lepas dan pertahanan.

TAI
Ketua Pegawai Eksekutif TAI Temel Kotil pada perasmian pejabat TAI di Cyberjaya hari ini.

 

“Kami berhasrat untuk meluaskan pengalaman kami di dalam bidang-bidang ini menerusi projek-projek kerjasama dengan Malaysia selain memperkukuhkan industri penerbangan antarabangsa terutamanya di rantau ini,” kata beliau.

Duta Turki ke Malaysia Merve Kavakci pula berkata, Turki mempunyai hubungan politik dan komersial yang kukuh dengan Malaysia dan berusaha untuk mendalamkan lagi hubungan itu menerusi kerjasama baru di dalam bidang pertahanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman berkata, kehadiran TAI di Malaysia akan meningkatkan lagi kedudukan negara sebagai pusat aeroangkasa serantau.

Adakah pembukaan pejabat kejuruteraan dan rekabentuk TAI di Malaysia hari ini menandakan hubungan yang erat di antara Malaysia dan Turki di dalam bidang pertahanan.

Adakah kita akan melihat lebih banyak sistem-sistem pertahanan dihasilkan oleh TAI digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Gergasi aeroangkasa dan pertahanan Turki yang bertanggungjawab membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) “Anka”,  dilaporkan adalah salah satu pesaing dalam tender Kementerian Pertahanan untuk memperolehi tiga buah Unmanned Aerial System-Medium Altitude Long Range (UAS-MALE).

TAI
Pesawat Tanpa Pemandu “Anka” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries.

 

Tender Kementerian Pertahanan untuk tiga buah sistem UAS-MALE itu telah pun ditutup pada Nov tahun lepas.

Bagaimanapun sistem UAS-MALE “Anka” itu perlu bersaing dengan beberapa sistem lain yang tidak juga kurang hebatnya termasuk MQ-9 Reaper (Predator B), CH-4, Wing Loong, Patroller, Falco dan Orion-E.

Selain itu, TAI menerusi pesawat yang sedang dibangunkan “Hurjet” dikatakan turut menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Fighter Aircraft (FLIT/LCA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Selain itu TAI turut berusaha untuk membangunkan pesawat pejuang generasi ke-limanya dipanggil “TF-X” untuk menggantikan pembabitannya di dalam program F-35 “ Lightning” dan telah mempelawa Malaysia untuk terlibat sama.

TAI
Pesawat “Hurjet”

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...