Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Manila Beli 32 Buah Helikopter S-70i Black Hawk Bernilai RM2.5 Bilion

Perolehan terbaru 32 buah helikopter Black Hawk yang diumumkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorezana hari ini menyaksikan negara itu menambah lagi 16 buah helikopter sama yang dibeli oleh negara itu sebelum ini.

0 1,790

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas memperolehi peluru berpandu anti-kapal daripada India, hari ini Filipina mengumumkan bahawa ia akan membelanjakan kira-kira US$620 juta (RM2.5 bilion) untuk membeli 32 buah helikopter S-70i Black Hawk yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Helikopter itu akan dibina syarikat PZL Mielec, yang merupakan anak syarikat Lockheed Martin di Poland.

Perolehan terbaru 32 buah helikopter Black Hawk yang diumumkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorezana hari ini menyaksikan negara itu menambah lagi 16 buah helikopter sama yang dibeli oleh negara itu sebelum ini.

Perolehan helikopter Black Hawk itu adalah untuk menggantikan helikopter Bell UH-1H yang kebanyakkannya didermakan oleh Tentera Amerika kepada Filipina.

Keseluruhannya, Filipina bakal memiliki 48 buah helikopter yang turut digunakan oleh tentera Amerika dan beberapa tentera udara di rantau ini.

Black Hawk

Menurut Delfin lagi, ia akan mula menerima helikopter Black Hawk terbaru itu pada tahun depan.

Beberapa hari lepas, Kementerian Pertahanan Filipina telah menganugerahkan kontrak bernilai US$374 juta (RM1.5 bilion) kepada Brahmos Aerospace Private Ltd untuk membekalkan sistem peluru berpandu anti-kapal kepada negara jiran itu.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu Brahmos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas dan menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di Laut China Selatan.

Sistem peluru berpandu anti-kapal Brahmos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Filipina dijangka memperolehi varian sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos” yang mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Brahmos
Peluru berpandu Brahmos

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Perolehan sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos”, itu berlaku juga hanya beberapa hari selepas it membuat keputusan untuk memperolehi dua buah kapal korvet bernilai US$556 bilion (RM2.2 bilion) daripada syarikat pembuat kapal Korea Selatan, Hyundai Heavy Industries (HHI).

“Perolehan kedua-dua buah kapal korvet untuk Tentera Laut Filipina yang berkemampuan untuk melaksanakan misi-misi anti kapal, anti-kapal selam dan anti-udara,” kata Menteri Pertahanannya Delfin Lorezana mengenai kedua-dua kapal korvet seberat 3,200 tan buatan Korea Selatan.

Dan dalam bulan Disember tahun lepas itu juga, negara jiran kita itu mula menerima helikopter penyerang T129 “ATAK” buatan Turki daripada enam yang dipesannya. — DSA

T129 ATAK
Helikopter Penyerang T129 ATAK
Comments
Loading...