Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Muncul “Destinasi Pilihan” Oligarch Russia Larikan Diri Dari Sekatan Ekonomi

Turki kini bukan sahaja menjadi destinasi pilihan kepada kapal-kapal mewah milik Oligarch Russia yang "melarikan diri" daripada sekatan ekonomi ketat oleh pihak Barat tetapi negara Mediterranean itu kini menjadi "lokasi pilihan" bagi dana berbillion-bilion Dollar Amerika milik para jutawan dan billionair Russia itu.

0 5,002

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya, pusat-pusat peranginan terkenal di Turki menjadi destinasi “persinggahan” pilihan bagi kapal-kapal layar mewah bernilai sehingga ratusan juta Dollar Amerika milik jutawan dan billionair Russia yang lebih dikenali dengan gelaran “Oligarch.”

“Oligarch” adalah gelaran yang diberikan oleh Barat kepada ahli perniagaan Russia yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Kremlin dan Presiden Russia Vladimir Putin.

Oligarch Russia seperti bekas pemilik kelab bolasepak Chelsea, Roman Abramovich dikatakan bertindak “melarikan” kapal-kapal layar mewah mereka ke Turki bagi mengelakkan aset bernilai mereka itu dirampas oleh pihak berkuasa negara-negara Barat.

Oligarch
Kapal layar mewah “Eclipse”milik Roman Abramovich.

 

Abramovich, 55, dikatakan telah “melarikan” kapal layar mewahnya “Eclipse” yang dianggarkan bernilai US$700 juta (RM2.8 bilion)  dan “Solaris” berharga US$600 juta (RM2.4 bilion) ke Turki untuk mengelaknya daripada dirampas oleh pihak berkuasa negara Eropah.

Sebelum dikesan berlabuh di pusat peranginan Turki, Yalikavak di selatan negara itu, kapal-kapal mewah milik beliau berlabuh di pusat peranginan di Eropah.

Terbaru, sebuah kapal layar mewah milik seorang lagi “Oligarch” Russia iaitu Oleg Deripaska dikesan sedang berlabuh di pusat peranginan Gocek yang terletak di selatan Turki, berkemungkinan juga sedang “melarikan” diri daripada sekatan ekonomi Barat.

Deripaska adalah pemilik gergasi aluminium Russia, “RUSAL” yang berhadapan dengan sekatan ekonomi daripada Amerika Syarikat, Eropah dan Britain.

Kapal mewah sepanjang 73 meter milik billionair Russia itu, “Clio” dianggarkan bernilai US$66 juta (RM264 juta).

Oligarch
Oleg Deripaska

 

Abramovich dan Deripaska adalah diantara “Oligarch” Russia yang bertuah kerana dapat melarikan kapal-kapal mewah mereka sebelum ianya dapat dirampas oleh pihak berkuasa Eropah.

Dua lagi “Oligarch” Russia iaitu Viktor Akselberg dan Igor Sechin berhadapan dengan nasib malang apabila pihak berkuasa Eropah dan Amerika Syarikat merampas kapal layar mewah milik mereka di pusat-pusat peranginan di Sepanyol dan Perancis.

Kapal mewah “Tango” bernilai US$90 juta (RM360 juta) milik Akselberg dan kapal “Crescent” milik Sechin, ketua syarikat minyak dan gas Russia, “Rosneft” bernilai US$600 juta (RM2.4 billion) kini “tersadai” di pusat peranginan itu, berkemungkinan menanti masa untuk dilelong.

Sebuah lagi kapal layar mewah milik “Oligarch” Russia,  Andriy Melnichencko dianggar bernilai US$578 juta (RM2.3 billion) turut telah dirampas oleh pihak berkuasa Itali.

Secara keseluruhannya, hampir satu dozen kapal-kapal layar mewah milik “Oligarch” Russia bernilai berbillion Dollar Amerika telah dirampas oleh pihak berkuasa Eropah dan Amerika Syarikat di atas dasar sekatan ekonomi terhadap Russia.

Oligarch
Kapal mewah milik Oligarch Russia, Andriy Melnichenko

 

Kerana Eropah kini telah menjadi “kawasan larangan” bagi ahli perniagaan Russia akibat sekatan ekonomi, maka mereka mula meninjau lokasi-lokasi lain dan Turki nampaknya menjadi pilihan.

Menurut beberapa laporan media sebelum ini, Turki bukan sahaja menjadi destinasi pilihan kepada kapal-kapal mewah milik Oligarch Russia yang melarikan daripada sekatan ekonomi Barat tetapi negara Mediterranean itu kini menjadi “lokasi pilihan” bagi dana berbillion-bilion Dollar Amerika milik para jutawan dan billionair Russia itu.

Berhadapan dengan ancaman sekatan ekonomi Barat, “Oligarch” Russia memindahkan dana bernilai berbillion Amerika ke Turki.

Turki kini menjadi lokasi pilihan bagi dana berbillion Dollar Amerika milik hartawan Russia itu yang mengambil kesempatan dengan melabur dalam pelbagai sektor di negara Mediterranean itu terutamanya hartanah.

Malah Abramovich juga sedang dilaporkan sedang meninjau peluang untuk membeli kelab bolasepak di Turki.

Istanbul

Berlainan daripada negara-negara di Eropah yang mengenakan sekatan ekonomi yang ketat terhadap Russia di atas pencerobohannya terhadap Ukraine, Ankara berdegil dan enggan terlibat melaksanakan sekatan ekonomi terhadap Moscow.

Ankara mempunyai hubungan ekonomi yang erat dengan Moscow, malah negara Mediterranean itu merupakan di antara negara pengimport terbesar minyak dan gas Russia.

Sektor pelancongan Turki juga menerima jutaan pelawat Russia setiap tahun.

Oligarch
“Solaris” milik Roman Abramovich

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sebab itulah Presiden Recep Tayyep Erdogan yang mempunyai hubungan baik dengan Presiden Vladimir Putin serta Ukraine enggan mengikut jejak langkah negara-negara NATO lain dalam mengenakan sekatan ekonomi yang ketat terhadap Russia.

Selain itu, Ankara juga mahu memelihara reputasinya sebagai “the honest broker” dengan menjadi mediator berkecuali dalam cubaan menyelesaikan konflik di antara Russia dan Ukraine.

Menyertai sekatan ekonomi terhadap Russia sudah semestinya akan meruntuhkan reputasinya sebagai pendamai berkecuali dalam konflik antara Moscow dan Kiev. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...