Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Terus Guna F/A-18D Hornet, Su-30MKM Sehingga Tahun 2035, 2040

Kenyataan daripada Panglima TUDM itu adalah jelas bahawa peminat-peminat pertahanan negara perlu menunggu lebih lama lagi sebelum kita memperolehi pesawat-pesawat pejuang MRCA generasi terkini.

11,227

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pesawat-pesawat pejuang, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM akan terus menabur khidmatnya dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga tahun 2035 dan tahun 2040, sebelum ia dibersarakan dan digantikan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi terbaru yang berada dipasaran.

Untuk memastikan pesawat-pesawat pejuang TUDM itu mampu beroperasi pada tahap maksimum sehingga ke tahun-tahun yang dinyatakan itu, F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM  akan dinaiktaraf supaya kemampuannya selari dengan peredaran zaman.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang mengesahkan perkara itu berkata, pesawat-pesawat pejuang TUDM itu akan menjalani proses penyelenggaran khusus dan dinaiktaraf supaya ia mampu beroperasi dengan berkesan sehingga tahun 2035 dan 2040.

“Untuk memastikan ia (F/A-18D dan Su-30MKM) meneruskan kemampuan operasinya, pesawat-pesawat F/A-18D akan menjalani program penyelenggaran dalam negara 12 tahun (Local Planned Maintenance 12 years – LPM12Y) pada tahun ini.”

“Bagi pesawat Su-30MKM, ia sedang menjalani program Service Life Extension Programme (SLEP) dan program Mid-Life Upgrade (MLU) yang akan memastikan perkhidmatannya sehingga tahun 2040 dan selepas daripada itu.”

— Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam temuramah dengan sebuah majalah pertahanan berbahasa Inggeris baru-baru ini.

Sukhoi
Pesawat Sukhoi Su-30MKM

 

TUDM memiliki lapan buah pesawat pejuang F/A-18D buatan Amerika Syarikat dan 18 buah Su-30MKM buatan Russia.

Kedudukan Malaysia dan TUDM adalah unik kerana ia menggabungkan dua teknologi kuasa besar Amerika Syarikat dan Russia dalam mempertahankan ruang udara, sesuatu yang jarang-jarang dilakukan oleh negara lain atas pelbagai sebab.

Program perolehan pesawat baru bagi menggantikan F/A-18D Hornet akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) tahun 2030-2035, manakala perolehan pesawat baru untuk menggantikan Su-30MKM pula akan dilakukan pada RMK-15 (2036-2040).

— Panglima TUDM

Sekurang-kurangnya diantara 15 tahun hingga 20 tahun lagi sebelum kita melihat pesawat-pesawat MRCA (multi-role combat aircraft) yang baru untuk memasuki perkhidmatan TUDM.

Kenyataan daripada Panglima TUDM itu adalah petanda jelas bahawa peminat-peminat pertahanan negara perlu menunggu lebih lama lagi sebelum kita memperolehi pesawat-pesawat pejuang MRCA generasi terkini.

TUDM
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM .

 

Sementara kita terus menggunakan lapan buah F/A-18D Hornet dan 18 buah Su-30MKM untuk menjaga keselamatan ruang udara negara, proses perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan/Fighter Lead-In Trainer (LCA/FLIT) sedang berjalan dengan lancar.

Tender antarabangsa Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan 18 buah pesawat LCA/FLIT telah pun tamat pada 22 September lepas.

Di dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris itu, Ackbal juga ditanya mengenai pesawat-pesawat F/A-18 C/D milik Tentera Udara Kuwait yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya oleh negara Timur Tengah itu selepas negara Timur Tengah itu membeli pesawat pejuang MRCA baru.

Pihak TUDM katanya, telah pun menghantar surat kepada Panglima Angkatan Tentera Kuwait untuk menyatakan hasratnya memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait.

Pesawat-pesawat F/A-18 C/D itu dikatakan masih berkeadaan baik dengan jam penerbangan yang rendah.

“Kita (TUDM dan Tentera Udara Kuwait) masih berunding dan masih menunggu reaksi balas daripada mereka (Kuwait),” kata Panglima TUDM.

Kuwait dan Itali menandatangani perjanjan perolehan 28 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bernilai Euro 8 Billion pada 2015.

TYPHOON
Pesawat Eurofighter Typhoon

 

Perolehan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu menyebabkan Kuwait menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang F/A-18 C/D milikinya.

Mengenai tawaran alat-alat ganti pesawat pejuang F/A-18D Hornet daripada Tentera Udara Australia,  beliau berkata, TUDM dan RAAF (Royal Australian Air Force) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya.

TUDM kata beliau, telah mula menerima komponen dan alat ganti pesawat Hornet daripada Australia bermula daripada awal tahun 2020.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.