TUDM Mohon Satu Bateri MERAD Pada RMK12, Belum Dilulus MoF
Bagaimanapun permohonan untuk memperolehi satu bateri Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) masih belum diluluskan di peringkat Kementerian Kewangan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat permohonan untuk memperolehi satu bateri Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Bagaimanapun Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, permohonan itu masih belum diluluskan di peringkat Kementerian Kewangan.
Beliau yang bercakap dalam temuramah dengan versi online majalah pertahanan Bahasa Melayu, Perajurit berkata, mengikut perancangan TUDM memohon satu bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana dalam setiap Rancangan Malaysia.

“Permohonan perolehan satu Bateri MERAD di dalam setiap RMK bermula RMKe-12 sehingga RMKe-15 bagi melengkapkan keperluan satu rejimen MERAD (4 Bateri). Buat masa ini permohonan 1 x Bateri di dalam RMKe-12 masih belum diluluskan di peringkat MOF (Kementerian Kewangan),” kata beliau dalam temuramah itu.
RMK-12 bermula daripada tahun 2021 hingga 2025 manakala RMK-13 (2026 hingga 2030), RMK-14 (2031 hingga 2035) dan RMK-15 daripada tahun 2036 hingga tahun 2040.
Pada bulan Mei lepas, Panglima TUDM berkata ia sedang dalam proses terakhir sebelum melakukan perolehan beberapa aset untuk angkatan itu, selaras dengan pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55).
Salah satu aset yang dimaksudkannya adalah sistem misil pertahanan udara jarak sederhana.
Antara sistem MERAD yang ditawarkan untuk memenuhi keperluan TUDM adalah “Norwegian Advanced Surface to Air Missile System) atau NASAM yang dibangunkan oleh syarikat Kongsberg Defence and Aerospace daripada Norway.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana “NASAM” itu dibangunkan oleh Kongsberg dengan syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon yang membekalkan peluru berpandu AMRAAM (AMRAAM (Advance Medium Range Air-To-Air-Missile) untuk sistem itu.
NASAM dikatakan adalah sistem pertahana udara jarak rendah ke sederhana yang mengaplikasikan network-centric pertama di dunia.
Comments are closed.