Australia Berbelanja Besar, Perolehi 200 Tomahawk Dan Tambahan HIMARS
Perolehan 200 buah peluru berpandu kruis “Tomahawk” itu adalah sebahagian daripada usaha Australia meningkatkan lagi kemampuan angkatan tenteranya untuk berhadapan dengan ketidakstabilan di rantau Indo-Pasifik akibat sikap agresif tentera China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Australia akan melengkapkan tiga buah kapal destroyer peperangan udara (air-warfare destroyers) kelas-Hobart miliknya dengan peluru berpandu kruis “Tomahawk” bagi membolehkannya memiliki kemampuan “serangan jarak jauh” dan menangani ketidakstabilan di Indo-Pasifik.
Peluru berpandu “Tomahawk” yang dibangunkan oleh syarikat RTX (dahulu dikenali sebagai Raytheon) daripada Amerika Syarikat mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 1,500km hingga 2,000km.
Perolehan 200 buah peluru berpandu kruis “Tomahawk” itu adalah sebahagian daripada usaha Australia meningkatkan lagi kemampuan angkatan tenteranya untuk berhadapan dengan ketidakstabilan di rantau Indo-Pasifik akibat sikap agresif tentera China.
200 buah peluru berpandu kruis “Tomahawk” itu dianggarkan bernilai AUD$1.3 bilion (RM3.87 bilion).
Dengan perolehan peluru berpandu jarak jauh itu, Australia hanya menjadi negara ketika untuk memiliki senjata itu selepas Amerika Syarikat dan Britiain, dengan Jepun juga dilaporkan berminat untuk memperolehi peluru berpandu itu.
Tentera Laut Australia memiliki tiga buah kapal perang destroyer peperangan udara kelas-Hobart dalam armadanya iaitu HMAS Hobart (DDG 39), HMAS Brisbane (DDG 41) dan HMAS Sydney (DDG 41).
Setiap kapal perang seberat lebih 7,000 tan terbabit dilengkapi dengan sistem kombat AEGIS dan Mark 41 Vertical Launch System (VLS) bagi membolehkannya melancarkan beberapa jenis peluru berpandu seperti RIM-66 Standard 2 dan RIM-162 Evolved Sea Sparrow.
Ia juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal Harpoon dan torpedo.

Sementara itu Jabatan Negara Amerika Syarikat juga mengumumkan bahawa ia telah meluluskan Foreign Military Sales (FMS) kepada Australia melibatkan 22 buah sistem M142 High-Mobility Artillery Rocket Systems (HIMARS) dan pelbagai peralatan sokongan bernilai hampir US$1 bilion (RM4.5 bilion).
Ia adalah penambahan kepada 20 buah HIMARS yang kerajaan Australia telah umumkan untuk perolehi pada Januari lalu.
Comments are closed.