Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Persaingan Bagi Program LMS Batch 2 TLDM Sengit. Turkiye Bukan Lagi Pilihan?

Selain syarikat STM yang disifatkan sebagai "frontrunner' dengan rekabentuk kapal kelas-Ada, persaingan untuk program Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 TLDM kini turut disertai oleh syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI), Fincantieri dan juga Abu Dhabi ShipBuilding (ADSB) yang merupakan sebahagian daripada EDGE Group, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

0 9,734

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebelum LIMA ’23, ramai yang menjangkakan calon pilihan untuk membina kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah daripada Turkiye, tetapi Defence Security Asia difahamkan persaingan kini adalah terbuka.

Ya, persaingan kini kembali terbuka dan syarikat Turkiye yang sebelum ini dikatakan “calon pilihan” juga menyedarinya, memaksa mereka mereka untuk melipatgandakan usaha untuk memenangi kontrak daripada Malaysia itu.

Ketika ditanya tentang peluang syarikatnya memperolehi kontrak LMS Batch 2 TLDM, seorang pegawai Turkiye daripada syarikat yang sebelum ini dikatakan “frontrunner” untuk program pembinaan kapal itu hanya mampu berkata, segala-galanya bergantung kepada kerajaan Malaysia dan mereka mengharapkan yang terbaik.

Ada
Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-Ada.

 

Hasil daripada perbualan dengan pegawai syarikat Turkiye itu, admin dapat merasakan kegusaran beliau tentang kemungkinan syarikatnya “terlepas” kontrak Malaysia itu yang sebelum ini seolah-olah sudah “berada di dalam genggaman.”

Ini kerana syarikat-syarikat lain termasuk yang mempunyai nama yang besar dalam industri pembuatan kapal tentera laut diperingkat antarabangsa mula mengorak langkah dalam kempen promosi mereka terhadap kerajaan Malaysia.

Persaingan yang semakin sengit untuk kontrak LMS Batch 2 sebenarnya adalah baik untuk Malaysia kerana ia memberikan negara lebih banyak pilihan dalam memilih yang terbaik untuk pertahanan negara.

Pada LIMA ’23, beberapa syarikat antarabangsa telah tampil untuk menawarkan solusi mereka dalam memenuhi keperluan TLDM untuk memperolehi tiga buah kapal LMS Batch 2 pada tahun ini dan lima buah pada Rancangan Malaysia yang seterusnya.

Itu yang menarik perhatian syarikat-syarikat antarabangsa, pemenang bukan hanya membina sebuah kapal tetapi mereka secara keseluruhannya mereka akan terlibat dalam kerja-kerja pembinaan lapan buah kapal LMS Batch 2.

LMS Batch 2
Rekabentuk HDC-2000 oleh Hyundai Heavy Industries untuk program LMS Batch 2 TLDM.

 

Tidak dapat dinafikan kontrak LMS Batch 2 Malaysia adalah lumayan dan memberikan peluang perniagaan untuk suatu jangkamasa yang panjang kepada syarikat pemenang.

Pada LIMA ’23, syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI) daripada Korea Selatan telah menampilkan model HDC-2000 Littoral Mission Ship  yang akan dicadangkan kepada TLDM bagi memenuhi keperluan mereka dalam program pembinaan kapal-kapal LMS Batch 2.

Rekabentuk HDC-2000 itu dikatakan hanya siap pada tahun lepas dan ia adalah berdasarkan kepada kapal friget kelas-Jose Rizal seberat 2,600 tan milik Tentera Laut Filipina.

Dengan berat 2,000 tan, panjang 95 meter, kapal LMS HDC-2000 mampu mencapai kelajuan 25 knot dengan radius operasi sejauh 4,000 batu nautika dan 72 orang anak kapal.

Ia boleh dilengkakan dengan dua pelancar sistem peluru berpandu anti-kapal, lapan sel Vertical Launching System (VLC) bagi peluru berpandu anti-pesawat, torpedo, meriam utama dan Close-In Weapon System (CIWS).

Syarikat pembuat kapal terkenal Itali, Fincantieri pula menampilkan rekabentuk daripada keluarga “FCX” untuk program LMS Batch 2 TLDM dengan rekabentuk “FCX15” dicadangkan untuk memenuhi keperluan Malaysia.

LMS Batch 2
Keluarga kapal FCX oleh Fincantieri

 

Rekabentuk “FCX15” adalah berdasarkan kepada kapal kelas-Sirio dan kelas- Comandanti Tentera Laut Itali  serta kelas-Abu Dhabi  untuk Tentera Laut UAE.

Panjang keseluruhan kapal LMS berdasarkan kepada rekabentuk FCX15 adalah 88 meter dengan berat keseluruhan 1,500 tan dan berkemampuan mencapai kelajuan 28 knot dengan radius operasi 4,000 batu nautika pada kelajuan kruis 14 knot.

Fincantieri menyifatkan rekabentuk FCX15 sebagai rekabentuk paling bersesuaian untuk memenuhi keperluan program LMS Batch 2 TLDM.

Sementara itu,syarikat Abu Dhabi ShipBuilding (ADSB) yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan EDGE,gergasi pertahanan darpada Emiriah  pula telah menampilkan rekabentuk 92M Corvette, antaranya untuk program LMS Batch 2 TLDM.

Kumpulan EDGE merupakan salah satu pempamer terbesar pada LIMA ’23 dan kehadirannya turut mendapat perhatian daripada Yang di-Pertuan Agong yang turut melawatnya.

LMS Batch 2
Rekabentuk 92M Corvette oleh Abu Dhabi ShipBuilding untuk program LMS Batch 2 TLDM

 

Selain itu Putera Mahkota UAE turut melawat booth EDGE itu di LIMA ’23.

Walaupun mensasarkan kontrak LMS Batch 2 TLDM itu, tetapi rekabentuk 92M Corvette itu juga adalah untuk memenuhi pasaran bagi kapal-kapal korvet dan friget ringan di seluruh dunia.

Dengan panjang 92 meter, kapal perang rekaan ADSB itu memiliki berat keseluruhan 2,000 tan serta berkelajuan 28 knot dan berkemampuan melaksanakan misi-misi peperangan permukaan, pertahanan udara dan juga peperangan elektronik.

Untuk sistem persenjataannya, ia boleh dilengkapi dengan meriam utama sama ada 57mm atau 76mm dan sistem pertahanan udara MBDA VL MICA atau LIG NEX1 M-SAM serta lapan pelancar untuk peluru berpandu kapal-ke-kapal.

Untuk Combat Management System (CMS) pula, kapal 92M Corvette juga boleh dilengkapi dengan sistem ATHENA oleh Leonardo atau TACTICOS oleh Thales yang turut digunakan oleh kapal-kapal perang TLDM. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...