Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jepun Arah Tenteranya Siap-Sedia Tembak Jatuh Roket Bawa Satelit Korea Utara

Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa kapal-kapal perangnya bersedia untuk menggunakan sistem pertahanan udara Standard Missile-3 (SM-3)  dan sistem Patriot Advanced Capability-3 (PAC-3) di daratan untuk memusnahkan roket Korea Utara yang membawa satelit pengintip tenteranya ke orbit sekiranya ia menceroboh ruang udara Jepun.

0 8,534

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jepun kini meletakkan sistem pertahanan udara anti-peluru berpandu balistik dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi amaran akan menembak jatuh roket yang membawa satelit tentera Korea Utara sekiranya ia menceroboh wilayah negara Matahari Terbit itu.

Pyongyang telah pun memaklumkan kepada Tokyo bahawa ia akan melancarkan roket membawa satelit pengintip milik tenteranya di antara 31 Mei ini hingga 11 Jun.

“Kita akan mengambil tindakan memusnahkan apa-apa balistik atau peluru berpandu yang mendarat di dalam wilayah milik kami,” menurut Kementerian Pertahanan Jepun dalam satu kenyataan hari ini.

sentinel

Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa kapal-kapal perangnya bersedia untuk menggunakan sistem pertahanan udara Standard Missile-3 (SM-3)  dan sistem Patriot Advanced Capability-3 (PAC-3) di daratan untuk memusnahkan roket Korea Utara yang membawa satelit tentera Korea Utara sekiranya ia menceroboh ruang udara Jepun.

Sistem pertahanan udara SM-3 digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Laut Jepun untuk memintas peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana sebagai sebahagian daripada “AEGIS Ballistic Missile Defense System.”

Walaupun direkabentuk sebagai sistem anti-peluru berpandu balistik,  sistem pertahanan udara SM-3 juga telah digunakan dalam kapasiti anti-satelit terutamanya terhadap satelit yang berada di kedudukan Low Earth Orbit (LEO), sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh Korea Utara. 

Korea Utara menyatakan bahawa satelit pengintip milik tenteranya itu telah pun berjaya disiapkan dan pemimpinnya, Kim Jong-Un telah pun mengeluarkan arahan supaya satelit itu dilancarkan.

Menurut para penganalisis, satelit itu adalah sebahagian daripada teknologi pemantauan termasuk dron yang digunakan oleh Pyongyang untuk meningkatkan kemampuannya membedil sasaran dengan tepat di waktu perang.

Kim Jong Un

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata sebarang pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara adalah pelanggaran serius terhadap resolusi Majlis Keselamatan,  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengutuk aktiviti nuklear dan peluru berpandunya.

Korea Selatan juga mengeluarkan kenyataan meminta Pyongyang membatalkan cadangan pelancaran roket membawa satelit tenteranya ke orbit.

Pemimpin Korea Utara sebelum ini menyatakan bahawa pemilikan dan pengoperasian satelit pengintip adalah amat penting bagi membolehkan negara Komunis itu menangani ancaman daripada Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Pyonyang turut melahirkan komitmen untuk melancarkan beberapa lagi satelit pengintip susulan pelancaran satelit yang pertama itu.

Pelancaran beberapa lagi satelit pengintip susulan menurut beliau akan meningkatkan lagi kemampuan pengumpulan maklumat perisikan oleh Korea Utara, katanya.

Pada Disember tahun lepas, Pyongyang menyatakan bahawa ia telah melakukan “fasa terakhir” dalam pembangunan satelit pengintipnya yang pertama dan menjangkakan kerja-kerja pembangunan satelit itu akan selesai pada April 2023.

Hwasong-17
Peluru berpandu balistik “”Hwasong-17” Korea Utara

 

“Mendapatkan maklumat perisikan yang cepat dan tepat tentang senario musuh-musuh adalah perkara yang paling penting,” kata Kim Jong-un sebagaimana dipetik oleh media negara itu.

Meletakkan satelit ke orbit memerlukan roket jarak jauh, sesuatu yang Korea Utara tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya.

Sejak awal tahun lepas, Pyongyang telah melancarkan lebih daripada 30 buah peluru berpandu ballistik sama ada jarak dekat atau jarak jauh termasuk yang terkini pada minggu lepas apabila ia melancarkan peluru berpandu ballistik antara benua (ICBM) menggunakan bahan api pepejal (solid fuel).

Walaupun Korea Utara berupaya melancarkan roket bagi membawa satelitnya ke orbit, tetapi apa yang dipersoalkan oleh penganalisis ketenteraan antarabangsa adalah kemampuan teknikal  satelit miliknya itu untuk menghantar imej-imej berkualiti bagi digunakan oleh pihak tentera negara itu.

Mereka tidak pasti sama ada Korea Utara memiliki kemampuan untuk membangunkan kamera-kamera satelit berteknologi tinggi untuk dilengkapkan pada satelit pengintip itu.

Pada 2016, Pyongyang telah melancarkan dua buah satelit pengawasan bumi (earth observation satellites), tetapi satelit terbabit dikesan gagal menghantar sebarang imej ke stesen buminya. — DSA  

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...