Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Perlukan Tambahan Kapal Selam, Dua Buah Tidak Cukup

Negara-negara di Asia Tenggara telah bertindak untuk menambah bilangan kapal selam di dalam tentera laut mereka, berkemungkinan kerana ia menyedari tentang keadaan geo-politik serantau yang semakin meruncing terutamanya membabitkan Laut China Selatan yang diibaratkan seperti “bom jangka.” Bagaimana pula dengan TLDM, adakah kita berpuashati dengan hanya dua buah kapal selam di dalam armada kita?

0 5,171

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kedua-dua kapal selam kelas-Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak milik negara telah ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2009.

Sudah hampir 13 tahun kapal-kapal selam daripada jenis “Scorpene” buatan syarikat Naval Group (dahulu DCNS) itu berkhidmat dengan TLDM, dengan Pangkalan Kota Kinabalu dijadikan “rumahnya”.

Memandangkan Malaysia ini adalah sebuah negara maritim dengan kawasan perairan yang amat luas, maka adalah wajar bilangan kapal selam TLDM  yang pada ketika ini berjumlah dua buah ditambah lagi.

Singapura yang “saiznya” jauh lebih kecil daripada Malaysia akan mula menerima kapal selam Type 218SG buatan syarikat Jerman, Thyssenkrupp Marine Systems (TKMS) yang pertama daripada empat dipesan pada tahun depan.

Empat buah kapal selam kelas-Invincible Type 218SG yang serba baru itu akan menambah kekuatan bawah permukaan Tentera Laut Singapura yang kini bergantung kepada kapal-kapal selam terpakai daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Scorpene
Kapal selam TLDM terlibat dalam Latihan OSTEX East 1/22 . (TLDM)

 

Selain Singapura, negara-negara di Asia Tenggara yang lain telah turut bertindak untuk menambah bilangan kapal selam di dalam tentera laut mereka, berkemungkinan kerana ia menyedari tentang keadaan geo-politik serantau yang semakin meruncing terutamanya membabitkan Laut China Selatan yang diibaratkan seperti “bom jangka.”

Bagaimana pula dengan TLDM, adakah kita berpuashati dengan hanya dua buah kapal selam di dalam armada kita?

Ketika menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Kepakaran Kapal Selam di Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar awal bulan ini, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany turut menyentuh tentang perkara itu.

Beliau berkata TLDM amat peka terhadap keperluan untuk menambah bilangan kapal selamnya.

“TLDM sangat peka terhadap keperluan untuk menambah jumlah aset kapal selam sehingga empat buah bagi melengkapkan dan mengoptimumkan kitaran pengoperasian kapal selam,” katanya. 

Torpedo
Torpedo Black Shark yang melengkapi kapal selam TLDM

 

“Landskap keselamatan global dan serantau yang semakin tidak menentu perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia yang menjadi penyumbang kepada 40 peratus hasil pendapatan negara,” katanya.

Ya, isu mengenai kitaran pengoperasian kapal selam pernah disentuh oleh Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan menerusi You Tube dan Facebook tahun lepas.

“Pengoperasian dan senggaraan menjadi cabaran kepada kita yang memerlukan kita ‘tackle’ dengan hati-hati supaya supaya kita dapat mencapai hari pengoperasian kapal selam di laut yang tinggi.”

Kapal Selam
“The Silent Service” milik TLDM

 

“Jadi dengan dua buah kapal selam, (adalah) agak sukar untuk kita mencapai jumlah hari pengoperasian (di laut) yang tinggi, tetapi setakat ini, Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan TLDM dan kerajaan telah dapat membantu kita mencapai satu jumlah hari pengoperasian (di laut) yang boleh dikatakan amat baik,” kata beliau.

Senggaran kapal-kapal selam negara perlu dilakukan dengan “strict” untuk memastikan aset strategik negara itu berada di dalam keadaan terbaik ketika bertugas.

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM juga berkata, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan di Pangkalan Kota Kinabalu, dimana kedua-dua kapal selam negara ditempatkan, dapat membantu dalam menyediakan warga kapal selam negara pada tahap yang baik untuk mengoperasikan kapal selam dengan berkesan dan capai tahap proficiency. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments
Loading...