Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Turki Dedah Pesawat Pejuang Ringan “Hurjet” Buat Pertama Kali

Projek pembangunan pesawat pejuang ringan "Hurjet" itu merupakan salah satu projek aeroangkasa yang paling berdaya saing dilaksanakan oleh industri pertahanan Turki sendiri, selain projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, TF-X dan pesawat latihan asas yang dinamakan "Hurkus."

0 3,462

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Pesawat prototaip pejuang ringan dibangunkan sendiri oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) “Hurjet” telah meninggalkan hangarnya untuk dipertontonkan kepada orang awam buat pertama kali.

Ia sekaligus membuktikan bahawa pembangunan pesawat pejuang ringan yang boleh juga bertindak sebagai pesawat latihan lanjutan (fighter lead-in trainer) itu berjalan dengan lancar.

Selain itu, pendedahan kepada orang awam pesawat prototaip pejuang ringan Hurjet itu juga menunjukkan bahawa program pembangunan pesawat telah berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi memastikan ia mampu diterbangkan pada tahun depan.

Dalam video yang dikeluarkan oleh TAI, pesawat prototaip Hurjet yang pertama itu ditarik oleh kenderaan daripada hangarnya sambil disaksikan oleh orang ramai.

Projek pembangunan pesawat pejuang ringan “Hurjet” itu merupakan salah satu projek aeroangkasa yang paling berdaya saing dilaksanakan oleh industri pertahanan Turki sendiri, selain projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, TF-X dan pesawat latihan asas yang dinamakan “Hurkus.”

Hurjet

Pesawat prototaip Hurjet itu dijangka melakukan penerbangan sulungnya pada tahun depan, selepas dilengkapi dengan enjin serta selepas melakukan “ground tests” yang diperlukan.

Jurutera TAI juga dijangka melengkapkan pesawat Hurjet itu dengan segala sistem avionik dan mengujinya sebelum pesawat itu melakukan penerbangan sulung.

TAI dijangka akan melakukan penerbangan sulungnya pada 18 Mac 2023, satu tarikh yang penting didalam sejarah Turki.

Tarikh 18 Mac 2023 itu adalah amat penting dan bersejarah pada Turki kerana ia adalah hari kemenangan bagi negara Mediterranean itu dalam Peperangan Gallipoli pada Perang Dunia Pertama dengan menumpaskan tentera Inggeris dan Perancis.

Seramai 250,000 tentera dari kedua-dua pihak maut dalam peperangan itu.

Pihak Turki dipercayai telah membelanjakan sebanyak US$1 bilion (RM4 bilion) untuk membangunkan pesawat “Hurjet” itu.

Sehingga kini, “Hurjet” yang menggunakan enjin F404 telah memperolehi 12 pesanan daripada Tentera Udara Turki yang mahu menggunakan pesawat untuk menggantikan pesawat T-38 Talon buatan Amerika Syarikat itu.

Tentera Udara Turki dijangka mula memperolehi pesawat-pesawat “Hurjet” itu pada 2025.

Menurut ketua pegawai eksekutif TAI, Temel Kotil berkata lima tahun selepas TAI membangunkan pesawat latihan turboprop “Hurkus”, kini ia berada di ambang satu lagi kejayaan membabitkan pesawat FLIT/LCA “Hurjet.”

“Kita mahu lebih banyak kejayaan,” kata beliau.

Hurjet

Pihak TAI menawarkan “Hurjet” kepada TUDM bagi memenuhi keperluannya untuk mendapatkan 18 hingga 36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA)  bagi menggantikan pesawat Hawk, MiG-29 dan Aermacchi MB339 miliknya.

Dalam satu temuramah dengan media Malaysia akhir tahun lepas, Temel Kotil berkata bahawa TAI bersedia mengeluarkan pesawat pejuang ringan “Hurjet” itu di Malaysia sekiranya syarikat itu dipilih sebagai pemenang dalam tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA.

“Kami (TAI) mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu (Hurjet) kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik.” katanya.

Hurjet

Sekiranya bidaan oleh syarikat TAI itu berjaya, beliau berkata, 15 pesawat “Hurjet” itu akan dikeluarkan di Malaysia manakala tiga buah lagi di Turki.

Temel Kotil itu berkata, pengeluaran pesawat “Hurjet” di Malaysia bertujuan mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing

TAI merupakan salah satu syarikat yang menyertai tender antarabangsa Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18-36 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA yang akan menggantikan pesawat Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM itu akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030). — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments
Loading...