Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tiga Sebab Kenapa Pesawat China Lakukan “Penerbangan Provokatif” 31 Mei Lepas

Beijing mahu memberi amaran kepada Malaysia supaya tidak mengeksploitasi sumber minyak dan gas asli yang berada di sekitar Beting Patinggi Ali dan kawasan-kawasan lain di sekitarnya.

0 9,020

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Badan pemikir antarabangsa, The International Institute for Strategic Studies (IISS) berpengkalan di London memberikan tiga sebab yang mungkin mendorong China untuk mengerah  16 pesawat tenteranya untuk melakukan “penerbangan provokatif” berhampiran ruang udara Malaysia pada 31 Mei tahun lepas.

Menurut IISS, sebab pertama di sebalik pencerobohan China itu berkemungkinan kerana Beijing mahu memberi amaran kepada Malaysia supaya tidak mengeksploitasi sumber minyak dan gas asli yang berada di sekitar Beting Patinggi Ali dan kawasan-kawasan lain di sekitarnya.

Malaysia setakat ini menurut IISS,  enggan melayan desakan-desakan daripada China yang mahukan kedua-dua negara itu mengadakan usahasama untuk mengeksploitasi sumber minyak dan gas di kawasan perairan terbabit, yang jelas berada di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Minyak dan gas asli merupakan salah satu industri utama bagi Malaysia.

Malaysia menurut badan, enggan tunduk terhadap desakan China disebabkan kawasan perairan itu berada di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) serta di Pelantar Benua (Continental Shelf) dan Kuala Lumpur mempunyai hak sepenuhnya terhadap sumber asli di kawasan itu.

Petronas

Negara tidak mempedulikan tuntutan China terhadap kawasan perairan itu dan sebab itulah kita melihat China tidak henti-henti menghantar kapal-kapal  pengawal pantainya ke kawasan perairan itu.

IISS dalam laporannya mengatakan bahawa Kuala Lumpur baru sahaja meluluskan projek Lapangan Gas Kasawari yang bakal menghasilkan kira-kira 900 juta meter padu gas dalam satu hari.

Sebagaimana yang kita tahu, projek pembangunan gas di Lapangan Gas Kasawari itu amat penting bagi PETRONAS dan bakal mengekalkan kedudukan syarikat negara itu sebagai antara pengeluar gas terbesar dunia.

Kasawari
Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.

Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam satu temuramah dengan agensi berita Reuters berkata projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari akan memastikan Malaysia kekal menjadi antara lima negara pengeksport terbesar gas asli di dunia.

Kenyataan oleh CEO PETRONAS itu menunjukkan bahawa Lapangan Gas Kasawari sememangnya menyimpan gas asli yang amat banyak dan bernilai tinggi, sehinggakan ia menarik perhatian China.

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

Selain projek projek pembangunan gas Kasawari, Petronas telah mengumumkan beberapa penemuan minyak dan  gas di kawasan berhampiran dengan Beting Patinggi Ali atau nama antarabangsanya, “Luconia Shoals.”

“Penerbangan pesawat-pesawat tentera China itu berkemungkinan adalah amaran geopolitik supaya (Kuala Lumpur) tidak meneruskan (projek) itu, “ kata laporan itu.

Sebab Kedua – mungkin pencerobohan 16 pesawat China itu adalah penerbangan latihan bertujuan menonjolkan kemampuan pengangkutan taktikal (tactical airlift) angkatan tentera China.

Menurut jangkaan,  penerbangan 16 buah pesawat pengangkut adalah cukup untuk mengangkut satu battalion anggota tentera (combined arms).

“Demonstrasi (kemampuan) itu mungkin bukan untuk disasarkan kepada Malaysia sahaja. Baru-baru ini, Tentera Udara China dikatakan akan memindahkan sebahagian daripada operasinya daripada Selat Taiwan kepada Laut China Selatan,” menurut IISS.

China
Pesawat-pesawat J-16 Shenyang Tentera Udara China.

 

Sebab Ketiga – kehadiran 16 pesawat tentera China di ruang udara Malaysia berkemungkinan satu usaha untuk Tentera Udara China “memeriksa”kemampuan sistem pertahanan udara Malaysia dalam menangani pencerobohan pesawat asing.

“Ia mungkin juga mahu melihat kemahuan politik (Malaysia) untuk memintas pesawat-pesawat China itu,” kata badan pemikir antarabangsa itu.

Menurut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ia telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei lepas.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut menurut TUDM telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

TUDM
Pesawat pengangkut tentera China Xian Y-20 digelar “Chubby Girl” yang dipintas oleh pesawat TUDM pada 31 Mei lepas.(kredit TUDM)

 

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...