Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tiga Radar Jarak Jauh Jadi “Mata dan Telinga” Malaysia Awasi Sebarang Pergerakan di Laut China Selatan

Tiga buah radar jarak jauh yang bakal dan sedang diperolehi oleh negara akan menjadi “mata dan telinga” Malaysia dalam memantau sebarang cubaan pihak asing untuk menceroboh ruang udara dan perairan negara di Laut China Selatan.

19,805
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga buah radar jarak jauh yang bakal dan sedang diperolehi oleh negara akan menjadi “mata dan telinga” Malaysia  dalam memantau sebarang cubaan pihak asing untuk menceroboh ruang udara dan perairan negara di Laut China Selatan.
Sebagaimana yang diketahui, sejak beberapa tahun kebelakangan ini perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara terutamanya berhampiran dengan Beting Patinggi Ali sering diceroboh oleh kapal pengawal pantai China.
Memandangkan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali ini mengandungi khazanah minyak dan gas negara yang besar, maka sudah pasti tidak salah sekiranya negara membuat pelaburan yang besar untuk meningkatkan keupayaan pengawasaannya.
Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap di sidang Dewan Rakyat pada Jun lepas berkata, kawasan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali yang “dipenuhi” dengan telaga-telaga minyak dan gas menyumbang 25 peratus pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Oleh kerana itulah kata beliau, kepentingan negara di Laut China Selatan itu perlu dipertahanan “at any cost.”
Kasawari
Lapangan Gas Kasawari adalah antara “aset” negara paling bernilai di Laut China Selatan.

 

“Mengambil kira kawasan itu seperti (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Patinggi Ali itu adalah kawasan yang memberikan pendapatan kepada negara hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dimana di situlah terletaknya telaga minyak kita, di situlah telaga gas kita, maka ia perlu dipertahankan ‘at any cost’,” kata Mohamad Hasan.
Antara aset negara paling bernilai di kawasan perairan terbabit adalah Lapangan Gas Kasawari yang terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.
Ditemui November 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh PETRONAS itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia.
Apakah tiga “mata dan telinga” negara yang akan memantau 24 jam sehari tujuh hari seminggu segala pergerakan di Laut China Selatan?

Kasawari

Beberapa bulan lalu, Malaysia dan Perancis telah menandatangani  Surat Setuju Terima (Letter of Acceptance- LOA) bagi radar pertahanan udara jarak jauh Ground Master 400 Alpha (GM400), yang akan ditempatkan di Bintulu, berhadapan dengan Laut China Selatan.
“…radar pertahanan udara jarak jauh GM400 yang akan ditempatkan di Bintulu, Sarawak bagi memantau kedaulatan ruang udara di pesisiran perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” menurut kenyataan Mohamad menerusi akaun media sosialnya.
Dianggarkan bernilai kira-kira RM200 juta, radar pertahanan udara jarak jauh GM400  itu merupakan anggota terbaru bagi keluarga radar-radar “Ground Master” yang banyak digunakan pengguna sebelum ini termasuk Malaysia.
Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Thales, kemampuan pengesanan oleh radar jarak jauh 3D GM400 itu telah dipertingkatkan sebanyak 10 peratus kepada kira-kira 515km (278 batu nautika), selain ciri-ciri cybersecurity yang telah dipertingkatkan dan algoritma AI (Artificial Intelligence) yang jauh lebih berkeupayaan.
Radar GM400 berkemampuan mengesan sasaran daripada pesawat-pesawat pejuang dan peluru berpandu berkelajuan tinggi, helikopter dan sistem pesawat tanpa pemandu.
GM400a
Radar jarak jauh GM400 Alpha buatan syarikat Thales yang akan beroperasi daripada Bintulu, Sarawak.

 

Salah satu ciri-ciri unik radar pertahanan udara jarak jauh GM400 adalah ia berkemampuan mengesan dan menjejaki sasaran seperti dron-dron taktikal yang terbang hampir dengan tanah (Nap-of-the-Earth) dan pada masa yang sama mengesan sasaran-sasaran pada altitude tinggi seperti pesawat pengebom pada jarak 515km.
Radar pertahanan udara jarak jauh GM400 Alpha buatan Perancis di Bintulu itu akan bergandingan dengan sebuah lagi radar pertahanan udara jarak jauh,  AN/TPS-77 buatan syarikat Lockheed Martin yang akan ditempatkan di Labuan.
Labuan adalah sebuah pulau yang terletak di Laut China Selatan,
Radar pertahanan udara jarak AN/TPS-77 itu adalah sumbangan kerajaan Amerika Syarikat.
 Coverage bagi radar AN/TPS-77  ini adalah sekitar 470km atau 250 Batu Nautika, dan ia adalah sebuah radar bergerak (mobile radar) yang mampu diatur-gerak ke kawasan-kawasan lain sama ada menggunakan pesawat C-130 Hercules, trak atau keretapi.
Layang-Layang
Stesen LIMA in Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spratly akan menempatkan sebuah radar jarak jauh sebagaimana diumumkan oleh Menteri Pertahanan sebelum ini.

 

Pada 2021, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberikan kontrak bernilai US$25.1 juta (RM103 juta) kepada syarikat, Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh kepada Malaysia.
“Mata dan telinga” negara yang ketiga untuk mengawasi segala pergerakan kapal dan pesawat asing di Laut China Selatan pula akan beroperasi di Pulau Layang-Layang milik Malaysia, yang terletak di Kepulauan Spratly.
“Radar Jarak Jauh di Pulau Layang-Layang itu akan membantu kita melihat apa-apa pergerakan yang berlaku di luar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Kepulauan Spratly itu,” kata beliau di Dewan Rakyat pada Oktober lepas.
Perolehan Radar Jarak Jauh untuk diletakkan di Pulau Layang-Layang itu telah pun diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara, kata beliau.
Pulau Layang-Layang di Laut China selatan itu terletak kira-kira 162 Batu Nautika daripada barat laut Kota Kinabalu, yang jelas menunjukkan ia adalah milik Malaysia mengikut United Nations Conventionon the Law of the Sea (UNCLOS 1982).
Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang turut didakwa China sebagai miliknya.

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga menempatkan anggota tenteranya di Stesen LIMA di Pulau Layang-Layang itu.
Sebagaimana yang kita ketahui, Kepulauan Spratly yang dikatakan kaya dengan minyak dan gas itu adalah “panas” dengan beberapa negara serantau seperti China, Vietnam dan Filipina mendakwa keseluruhan kawasan kepulauan itu atau sebahagiannya adalah hak milik mereka.
China sebagai contohnya, telah menjadikan beberapa terumbu karang di Kepulauan Spratly sebagai pangkalan tenteranya, dengan menempatkan pesawat-pesawat tentera, kemudahan radar dan komunikasi serta kapal-kapal perang. — DSA

 

Comments are closed.