Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Minta Bantuan Pakistan, “Was-Was” Dgn Enjin Kapal Selam Buatan China

Thailand dipercayai masih “was-was” dengan kualiti dan prestasi enjin buatan China yang bakal digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan “S26T” miliknya, menyebabkan ia memohon maklumat terperinci mengenainya daripada Pakistan yang menggunakan lapan buah kapal selam kelas-Yuan buatan China itu.

0 8,692

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand dikatakan telah meminta “bantuan” daripada Pakistan untuk mendapatkan maklumat terkini dan terperinci berkenaan enjin kapal selam buatan China yang digunakan oleh tentera laut negara Asia Selatan itu.

Tentera Laut Thailand mahu mengetahui dengan lebih lanjut daripada Pakistan tentang kualiti enjin buatan China yang melengkapkan lapan buah kapal selam kelas-Yuan digunakannya.

Kelapan-lapan buah kapal selam kelas-Yuan buatan China dimiliki oleh Tentera Laut Pakistan adalah sama dengan kapal selam yang dibeli oleh Thailand, tetapi pembinaan masih tergantung sehingga kini disebabkan isu enjin.

Kapal Selam
Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha beri amaran akan batal perjanjian pembelian kapal selam dari China. (Bangkok Post)

 

Thailand dipercayai masih “was-was” dengan kualiti dan prestasi enjin buatan China yang bakal digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan “S26T” miliknya, menyebabkan ia memohon maklumat terperinci mengenainya daripada Pakistan.

Bagaimanapun isu mengenai enjin kapal selam buatan China milik Pakistan itu dipercayai hampir ke penghujungnya, dengan Thailand menurut agensi media Nikkei terpaksa menerima kapal selam selepas menerima tekanan daripada Beijing.

China sebagai pelabur dan rakan dagang terbesar Thailand dikatakan menggunakan tekanan untuk memaksa Thailand menerima supaya enjin buatannya digunakan oleh kapal selam kelas-Yuan yang bakal dimilikinya pada tahun ini.

Baru-baru ini, Bangkok memberikan petanda bahawa ia bersedia untuk berkompromi dengan Beijing tentang isu enjin kapal selam itu.

Bangkok memberikan petanda bahawa ia bersedia menerima kapal selam kelas-Yuan itu walaupun ia dilengkapi dengan enjin buatan negara, tidak seperti apa yang terkandung dalam kontrak pembelian ditandatangani pada 2017 yang menjanjikan enjin buatan Jerman.

Perkara itu disahkan oleh Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Choengchai Chomchoengpaet yang mengatakan bahawa mereka boleh menerima enjin buatan China tetapi ia mestilah bersyarat.

S-26T
Kapal selam kelas Yuan S26T buatan China sebagaimana yang bakal digunakan oleh Thailand.

 

“Kami mempunyai tiga syarat yang perlu dipertimbangkan – pertama bahawa enjin (buatan China) itu perlulah selamat. Kedua, Tentera Laut China perlu memberikan jaminan enjin yang akan dipasang pada kapal selam Thailand.”

“Ketiga, perlu ada pampasan terhadap kelewatan berikutan pertukaran enjin itu. Ini adalah syarat-syarat yang penting dalam keputusan sama ada kontrak itu akan diteruskan atau dibatal,” kata beliau.

Pada 2017, Thailand bersetuju untuk membelanjakan kira-kira US$400 juta untuk memperolehi sebuah kapal selam s-26T kelas-Yuan daripada China Shipbuilding & Offshore International Co (CSOC), dengan penghantaran kapal itu dijangkakan pada tahun depan

Bagaimanapun, pembelian kapal selam pertama Thailand itu berhadapan dengan masalah selepas syarikat MTU daripada Jerman enggan membekalkan enjinnya, MTU396 kepada China berikutan sekatan senjata oleh Kesatuan Eropah terhadap China, mengakibatkan pembinaan kapal selam pertama itu tertangguh sejak tahun lepas.

Pada mulanya, Thailand menolak tawaran oleh CSOC untuk memasang enjin buatan China, CHD620 pada kapal selam milik negara Asia Tenggara itu dan mahukan syarikat itu memenuhi kontraknya sebagaimana dipersetujui.

Malah pada November tahun lepas, kerajaan Thailand yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Prayut Chan-o-cha menyatakan bahawa ia bersedia untuk membatalkan pembelian kapal selam daripada China sekiranya syarat-syarat dalam kontrak itu tidak dipenuhi.

Torpedo
Torpedo yang akan digunakan oleh kapal selam Thailand. 

 

Prayut mahukan kapal selam pertama Thailand yang dibeli daripada China itu dipasang dengan enjin buatan syarikat Jerman, MTU Friedrichshafen GmbH sebagaimana dipersetujui dalam kontrak pembelian.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan Thailand pada ketika itu mengarahkan Tentera Laut Thailand berusaha yang terbaik tetapi sekiranya Beijing tetap gagal mematuhi kontrak,  maka negara Asia Tenggara itu perlu bersedia untuk membatalkan pembelian kapal selam China itu.

Apa yang kita hendak lakukan dengan sebuah kapal selam yang tidak mempunyai enjin?”

“Sekiranya perjanjian tidak dapat dipenuhi, kita perlu memikirkan sesuatu untuk menyelesaikannya. Bukankah itu caranya untuk kita menyelesaikan masalah itu,” katanya.

CSOC menyatakan bahawa enjin diesel kapal selam buatan China, “CHD 620” adalah sama standard dan keupayaan dengan enjin diesel “MTU 396” yang dibuat oleh firma Jerman,  MTU Friedrichshafen GmbH. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...